Ahmad Zahid Terima Kunjungan Hormat Perpisahan Duta Besar China
PUTRAJAYA, 2 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing, yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya di negara ini.
Menerusi perkongsian menerusi laman Facebooknya, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan atas komitmen Ouyang dalam mempererat hubungan antara Malaysia dan China serta usaha mendekatkan kerjasama antara kerajaan, sektor perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya di Malaysia, tentunya banyak pengalaman, pencapaian dan kenangan yang terbina bersama,” katanya.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai hubungan Malaysia-China yang terus berkembang serta ruang kerjasama yang boleh diterokai pada masa hadapan.
Menurut Ahmad Zahid, hubungan yang telah dibina sekian lama antara Malaysia dan China perlu terus diperkukuh berasaskan saling menghormati dan manfaat bersama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ouyang atas segala khidmat dan persahabatan sepanjang berada di Malaysia.
“Terima kasih TYT Ouyang atas segala khidmat dan persahabatan sepanjang berada di Malaysia. Saya mendoakan semoga beliau terus diberikan kejayaan dalam apa jua amanah selepas ini dan semoga hubungan erat Malaysia-China terus berkembang demi kepentingan kedua-dua negara dan rakyatnya,” katanya lagi. – UMNO Online
