UMNO Melaka Perkukuh Kesatuan, Kerja Berpasukan Hadapi PRN
AYER KEROH, 1 Okt – Semangat kebersamaan, kesatuan hati dan kerja berpasukan menjadi antara fokus dalam Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka yang berlangsung di Seri Bendahara, di sini, malam tadi.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka itu menjadi ruang untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan gerak kerja dan penyelarasan organisasi UMNO Negeri Melaka.

Menurut beliau, perbincangan turut memberi tumpuan kepada perkembangan semasa serta persiapan dan gerak kerja parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang.
“Setiap pandangan, cadangan dan komitmen yang dibawa dalam mesyuarat menjadi sebahagian daripada usaha memastikan gerak kerja di setiap peringkat dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.
“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan, kesatuan hati dan kerja berpasukan, segala amanah akan terus dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negeri Melaka,” katanya.
DUN Melaka yang mempunyai 28 kerusi dibubarkan berkuat kuasa pada 23 September lalu bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober ini bagi membincangkan urusan PRN Melaka ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu. – UMNO Online
