‘Agenda Malaysia Biru … Inilah Yang Saya Bayangkan’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan lapan ikhtiar utama menerusi Agenda Malaysia Biru sebagai kerangka bagi membentuk hala tuju negara.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian menerusi hantaran di media sosialnya yang menyorot lapan ikhtiar Agenda Malaysia Biru yang telah dibentangkan
semasa Perhimpunan Agung UMNO 2026 baru-baru ini.

“Insya-Allah, melalui Agenda Malaysia Biru ini kita mahu mencipta kekayaan negara, membina manusia, memperluas pemilikan, menjaga kesejahteraan, menghadapi krisis, memelihara rakyat, membina kepercayaan dan mempertahankan kepentingan nasional.

“Inilah Malaysia yang saya bayangkan melalui lapan ikhtiar Agenda Malaysia Biru,” katanya.

Beliau sebelum ini membentangkan agenda berkenaan ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 11 September lalu.

Lapan Ikhtiar Utama Agenda Malaysia Biru:

1. Negara Pencipta – Mencipta teknologi, jenama dan harta intelek sendiri; daripada ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’.
2. Negara berkemahiran – menjadikan kemahiran kepakaran dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai mata wang baharu kemajuan.
3. Negara Pemilik – membina masyarakat yang bukan sekadar berpendapatan tetapi memiliki asset yang menjana nilai.
4. Negara Sejahtera – memastikan pertumbuhan ekonomi benar-benar meningkatkan pendapatan boleh guna dan kualiti hidup rakyat.
5. Berdaya Tahan – membina kemandirian dalam makanan, kesihatan, tenaga, air, telekomunikasi dan sektor strategik ketika krisis.
6. Negara Peduli – menjadikan penjagaan kanak-kanak, warga emas, OKU dan pesakit sebagai sebahagian daripada senibina ekonomi negara.
7. Negara Beramanah – membina institusi yang dipercayai, tadbir urus berintegriti dan kedaulatan undang-undang yang dihormati.
8. Negara Berdaulat – memperluas pengaruh Malaysia sambil memastikan setiap hubungan dan perjanjian terus melindungi kepentingan nasional. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO