UMNO Labuan Perkukuh Khidmat Rakyat, Kesejahteraan Jadi Keutamaan
LABUAN, 30 Sept – Pendekatan turun padang dan mendengar sendiri suara masyarakat terus menjadi antara tumpuan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan dalam usaha memperkukuh khidmat kepada rakyat serta menyokong pembangunan komuniti di Labuan.
Menerusi pelbagai program kemasyarakatan, kebajikan dan pembangunan sukan, Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan memberi penekanan kepada keperluan rakyat di peringkat akar umbi, termasuk keluarga yang memerlukan, golongan peniaga serta pembangunan bakat muda.

Antara inisiatif yang diteruskan ialah Program Peduli Rakyat Beras Kahwin yang menyantuni lima keluarga memerlukan di Kampung Pohon Batu, Sungai Bedaun, Sungai Buton dan Belukut.
Beliau turut menghargai komitmen Puteri UMNO Bahagian Labuan yang terus turun padang menyampaikan bantuan serta mendekati masyarakat.
“Bantuan yang disampaikan mungkin tidak besar nilainya, tetapi kita berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang menerima. Yang lebih penting, mereka tahu bahawa mereka tidak keseorangan dan masih ada yang mengambil berat.”
Menurut beliau, khidmat kepada rakyat tidak seharusnya bermusim, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan berdasarkan keperluan masyarakat.
Pendekatan sama turut diterapkan ketika beliau turun ke Pasar UTC Labuan, bertemu peniaga serta masyarakat di Pasar Ikan dan Pasar Ayam, selain berkongsi sedikit rezeki dengan mereka yang ditemui.

Program berkonsepkan “Rezeki Dikongsi, Ukhwah Dihati” itu menjadi ruang untuk beliau berinteraksi secara langsung dengan peniaga dan mendengar cerita serta cabaran yang mereka hadapi dalam kehidupan seharian.
“Bagi saya, rezeki yang Allah SWT kurniakan akan lebih bermakna apabila dapat dikongsi bersama. Dalam masa yang sama, turun ke pasar dan bertemu masyarakat memberi kita peluang untuk mendengar sendiri suara mereka serta memahami denyut nadi rakyat,” katanya.
Dalam bidang pembangunan belia pula, Mohd Rafi memberi perhatian kepada pengembangan bakat sukan melalui penganjuran Kejohanan Bola Jaring Piala DMR 2026 serta Kejohanan Bola Sepak Bawah 14 Tahun (U14) anjuran Indera Gusu Football Club (IGFC).
“Bakat itu ada di Labuan. Tugas kita ialah mencari, membimbing dan memberikan mereka peluang untuk berkembang. Pembangunan sukan perlu bermula dari akar umbi supaya anak-anak kita mempunyai ruang untuk bermain, berlatih dan bertanding secara kompetitif.”
Dalam aspek pembangunan kemudahan masyarakat, Mohd Rafi turut meninjau keadaan Surau Kampung Kerupang susulan permohonan Ketua Kampung Kerupang, Roslan Ibrahim, bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan surau berkenaan.
Permohonan tersebut kemudiannya dibawa kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf.

Turut sama mendapat perhatian ialah Surau Kampung Bebuloh Laut yang menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM100,000 daripada KKDW.
Mohd Rafi merakamkan penghargaan kepada KKDW atas kelulusan tersebut dan berharap peruntukan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi keselesaan jemaah serta penduduk Kampung Kerupang.
“Amanah kita bukan sekadar mendengar suara rakyat, tetapi berusaha membawa keperluan mereka kepada pihak berkaitan sehingga ada penyelesaian. Inilah pendekatan yang mahu kita teruskan iaitu mendengar, membawa dan berusaha mencari jalan penyelesaian.”
“Selagi diberikan ruang dan kemampuan, kita akan terus bersama rakyat Labuan. Kita mahu pembangunan yang dirasai bukan sahaja melalui angka dan projek, tetapi melalui perubahan yang memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat.” – UMNO Online
