DMJ Platform Anak Muda Johor Bawa Suara dan Aspirasi Generasi Baharu
ISKANDAR PUTERI, 30 Sept – Dewan Muda Johor (DMJ) terus menjadi platform penting bagi anak muda negeri ini untuk menyuarakan pandangan, membincangkan isu semasa serta membawa aspirasi generasi muda berkaitan dasar negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, DMJ yang bermula sejak 2018 merupakan platform terbuka untuk anak muda Johor daripada pelbagai latar belakang, selain menjadi ruang membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pemikiran kritis.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Malam Apresiasi Dewan Muda Johor 2026 di Iskandar Puteri, yang turut menghimpunkan barisan alumni dan ahli DMJ.
“Orang Muda Johor sentiasa dekat di hati saya. Saya percaya mereka bukan sekadar pemimpin masa hadapan, tetapi mempunyai peranan penting dalam membentuk Johor hari ini.”
Menurut beliau, ruang seperti DMJ perlu dimanfaatkan anak muda untuk berani bersuara, membawa idea baharu serta mengangkat perkara yang dekat dengan kehidupan dan masa depan generasi mereka.
Majlis tersebut turut meraikan perjalanan dan sumbangan warga DMJ menerusi Anugerah Perwakilan Terbaik, Anugerah Pembahas Terbaik dan Anugerah Ikon Alumni, selain penghargaan kepada barisan Speaker dan Timbalan-Timbalan Speaker DMJ.
Sehingga kini, DMJ telah menghimpunkan 360 alumni dan ahli, termasuk 112 orang bagi sesi 2026/2027.
Onn Hafiz turut menyeru seluruh anak muda Johor agar tidak takut untuk bermula, bersuara dan membawa perubahan dengan memanfaatkan setiap peluang bagi menimba pengalaman serta membina kemampuan.
“Johor memerlukan anak muda yang bukan hanya mempunyai cita-cita besar, tetapi berani untuk mencapainya.”
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga dan alumni DMJ serta berharap platform berkenaan terus melahirkan anak muda Johor yang berani membawa idea, matang dalam menyuarakan pandangan dan bersedia memikul tanggungjawab bersama-sama membina masa depan Johor yang lebih baik. – UMNO Online
