UMNO Melaka Nafi Berkait Akaun Media Sosial ‘umnomelakafans’
MELAKA, 29 Sept – Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka menegaskan akaun media sosial menggunakan nama “umnomelakafans” yang sedang tular bukan akaun rasmi badan berkenaan dan tidak mewakili pendirian rasmi UMNO Negeri Melaka.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Senator Datuk Mustafa Musa berkata sebarang kandungan, kenyataan, grafik atau komen yang diterbitkan menerusi akaun tersebut tidak pernah mendapat kebenaran atau mandat daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka.

Beliau berkata, penjelasan itu dibuat susulan tular satu hantaran daripada akaun berkenaan berkaitan pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah, yang telah menimbulkan pelbagai reaksi serta salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Kami memandang serius penggunaan nama dan identiti yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menyebabkan masyarakat mengaitkan kandungan akaun tersebut dengan UMNO Negeri Melaka,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak menganggap sebarang kandungan daripada akaun berkenaan sebagai kenyataan atau pendirian rasmi UMNO Negeri Melaka.
Dalam pada itu, Mustafa berkata UMNO Negeri Melaka akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan segala maklumat serta bukti berkaitan yang berada dalam simpanan pihaknya. – UMNO Online
