Titah Sultan Kelantan Jadi Panduan Perkasa Ekosistem Tahfiz Negara – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-57, khususnya berhubung cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, titah Sultan Kelantan mengenai keperluan mengimbangi pendidikan agama, pendidikan arus perdana serta latihan teknikal dan vokasional memberikan pedoman penting dalam membentuk masa depan pendidikan tahfiz di negara ini.

Menurut beliau, usaha memperkukuh pendidikan tahfiz perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan generasi huffaz bukan sahaja mempunyai hafazan yang kukuh dan kefahaman agama yang tinggi, malah menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran serta bidang profesional.
“Kita mahu melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja teguh hafazannya dan tinggi kefahaman agamanya, tetapi turut menguasai ilmu, kemahiran dan bidang profesional.
“Al-Quran menjadi asasnya, ilmu memperluas pemikirannya dan kemahiran membuka masa depannya,” katanya.
Beliau berkata, cadangan yang dizahirkan Sultan Muhammad V akan diteliti dan diperhalusi bersama pihak berkaitan bagi memperkukuh ekosistem tahfiz negara.
Katanya, usaha itu juga penting dalam melahirkan generasi al-Quran yang mampu memberikan sumbangan kepada ummah dan negara.
Terdahulu, Ahmad Zahid turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-57 Sultan Muhammad V.
Beliau turut mendoakan agar Sultan Muhammad V terus dikurniakan keafiatan, kebijaksanaan dan keberkatan dalam menaungi rakyat.
“Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terus dikurniakan keafiatan, kebijaksanaan dan keberkatan dalam menaungi rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
