Rewang: HAWA Melaka Teruskan Usaha Kebajikan, Dekat Dengan Masyarakat
MASJID TANAH, 29 Sept – Pertubuhan Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Malaysia (HAWA) meneruskan usaha kebajikan yang dekat dengan masyarakat, kata Pengerusinya, Datuk Haryaty Hamdzah.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan dapat dilihat menerusi penganjuran Program Rewang Bersama HAWA Melaka yang platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Dalam budaya masyarakat kita, rewang bukan sekadar memasak atau menyediakan makanan. Rewang mempertemukan jiran, menggerakkan sukarelawan dan mengajar kita untuk melihat keperluan orang sekeliling.
“Ada yang menyumbang barang, ada yang mengangkat, ada yang membungkus dan ada yang menyampaikan. Setiap peranan itu penting,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Masjid Sultan Ibrahim, di sini, semalam.
Menurutnya, semangat saling membantu yang diterapkan menerusi program berkenaan selari dengan tuntutan Islam supaya masyarakat bersama-sama melakukan kebajikan.
“Semangat itulah yang kita amalkan pada hari ini apabila masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat saling membantu.
“Usaha yang kecil di tangan seorang individu boleh menjadi manfaat yang besar apabila dilakukan bersama-sama. Orang dahulu berpesan, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.
“Bagi kita, sebungkus makanan atau sedikit sumbangan mungkin nampak sederhana, tetapi bagi keluarga yang sedang melalui waktu sukar, ia boleh membantu meringankan beban dan perbelanjaan mereka.
“Sapaan dan kunjungan kita pula mengingatkan mereka bahawa masih ada insan yang mengambil peduli,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berpandangan Program Rewang Bersama HAWA Melaka merupakan antara pendekatan yang dibawa bagi memastikan gerakan kebajikan HAWA terus mendekati masyarakat.
Ujarnya, program tersebut turut memberi ruang kepada HAWA Melaka untuk mendengar dan mengenal pasti keperluan golongan yang memerlukan perhatian serta sokongan.
“Saya berharap program pada hari ini menjadi ruang untuk kita mendengar dan mengenal pasti keperluan masyarakat.
“Jika kita bertemu ibu yang memerlukan sokongan; warga emas yang memerlukan perhatian atau keluarga yang sedang menghadapi kesulitan, sampaikan maklumat tersebut kepada kami dengan tetap menjaga maruah mereka.
“HAWA Melaka mahu meneruskan usaha kebajikan yang dekat dengan masyarakat dan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata wanita turut mempunyai peranan penting dalam keluarga, masyarakat dan kepimpinan serta perlu terus diberikan ruang untuk menyumbang tanpa mengira usia.
“Apabila saya dipertanggungjawabkan untuk mengemudikan HAWA Melaka, saya melihat wanita sebagai aset utama kepada parti, keluarga dan kepimpinan negeri Melaka.
“Saya tidak percaya kepada pandangan bahawa apabila seseorang wanita sudah berusia atau mencapai usia persaraan, mereka tidak lagi boleh melakukan apa-apa.
“Namun Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil telah membuktikan bahawa wanita pada usia apa sekalipun masih mampu menyumbang dan memainkan peranan,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
