Kerajaan Johor Terus Perkukuh Ekosistem Pendidikan, Berdaya Saing

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Kerajaan Johor terus memperkukuh ekosistem pendidikan negeri bagi memastikan anak-anak Johor mendapat akses kepada peluang pendidikan yang inklusif, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhamad Naqib Md. Ghazali berkata, perkara itu antara tumpuan yang diberi perhatian dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) Ke-82 yang dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti berkata, pelbagai agenda strategik dibincangkan bagi memperkasa bantuan dan program pendidikan YPJ secara menyeluruh.

“Pelbagai agenda strategik telah dibincangkan bagi memperkasa bantuan dan program pendidikan YPJ secara menyeluruh, selari dengan aspirasi membina ekosistem pendidikan yang inklusif, berdaya saing dan lestari untuk anak-anak Johor,” katanya.

Menurut Dr. Muhamad Naqib, penilaian turut dibuat terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif YPJ bagi memastikan program yang disediakan terus relevan dengan keperluan semasa, khususnya dalam membantu meringankan beban mahasiswa Johor.

Katanya, usaha memperkukuh pendidikan perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek akses kepada pendidikan, tetapi turut memastikan bantuan dan sokongan yang disediakan memberi manfaat kepada pelajar serta keluarga yang memerlukan.

“Dalam masa yang sama, kami juga telah menilai kembali pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah YPJ agar ia terus kekal relevan dan membantu meringankan beban anak-anak mahasiswa Johor,” katanya.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah YPJ termasuk Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Datuk Abd Aziz Engan; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Haji Mohd Noorazam Datuk Haji Osman; serta Pengurus Besar YPJ, Puan Norliyati Md Nor serta lain-lain pimpinan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO