Kebajikan Dan Aspirasi Rakyat Terus Diperkasa Di Pengerang

PENGERANG, 28 Sept — Semangat kebersamaan, penghayatan nilai kerohanian serta keprihatinan terhadap keperluan masyarakat terus menjadi keutamaan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam memastikan pembangunan kawasan itu terus memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Ketua Penerangan UMNO itu berkata, usaha membangunkan Pengerang tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal, sebaliknya turut merangkumi pengukuhan nilai keagamaan, kebajikan masyarakat serta penyediaan ruang yang kondusif untuk generasi muda.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menghadiri Karnival Mahabbah & Pengerang Berselawat 2026 di Bandar Penawar yang menghimpunkan warga Pengerang dalam suasana penuh penghayatan menerusi selawat, tazkirah dan pengisian kerohanian.

“Saya amat bersyukur kerana Parlimen Pengerang dapat menganjurkan sebuah program yang menghimpunkan warga Pengerang untuk bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui selawat, tazkirah serta pengisian kerohanian.

“Semoga program seperti ini terus menyuburkan rasa mahabbah, mempereratkan ukhuwah dan membawa keberkatan kepada seluruh warga Pengerang,” katanya.

Dalam kesempatan sama, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pengerang turut menyampaikan sumbangan kepada masjid-masjid di sekitar Parlimen Pengerang sebagai sokongan terhadap usaha mengimarahkan institusi masjid.

Menurut Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, masjid bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah mempunyai peranan penting sebagai pusat komuniti yang menyatukan masyarakat serta menjadi wadah untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azalina turut turun padang meninjau dua lokasi di Parlimen Pengerang bagi melihat sendiri keperluan yang perlu diberikan perhatian.

Di Sungai Rengit, beliau meninjau keadaan longkang monsun sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi musim tengkujuh dan risiko banjir.

Beliau berkata, langkah pencegahan perlu dilaksanakan lebih awal bagi memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik dan kawasan sekitar lebih bersedia sekiranya berdepan hujan lebat.

“Persediaan awal amat penting supaya kita dapat mengenal pasti keperluan penyelenggaraan dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.

Azalina turut melawat Dewan Serbaguna Taman Sri Penawar bagi melihat potensinya untuk dimanfaatkan sebagai ruang aktiviti golongan belia.

Beliau berharap kemudahan berkenaan dapat dioptimumkan sebagai tempat yang selamat dan sesuai untuk anak-anak muda berkumpul, bersukan serta mengisi masa dengan aktiviti yang bermanfaat.

Katanya, pembangunan Pengerang perlu bergerak seiring dengan keperluan semasa masyarakat, termasuk memastikan golongan belia mempunyai ruang dan peluang untuk berkembang.

“Pengerang bukan sahaja perlu bersedia menghadapi cabaran, tetapi juga terus menyediakan ruang untuk generasi mudanya untuk terus berkembang,” katanya.

Pendekatan turun padang dan melihat sendiri keperluan masyarakat di peringkat akar umbi akan terus diperkasakan bagi memastikan isu berkaitan kebajikan, infrastruktur, kerohanian dan pembangunan belia mendapat perhatian sewajarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO