Ahmad Zahid Kenang Jasa, Ketokohan Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Ahmad Zahid berkata pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga serta negara, khususnya setelah sekian lama beliau menjadi insan yang sentiasa berada di sisi Tun Dr. Mahathir.

“Saya dan keluarga merakamkan salam takziah yang sedalam-dalamnya kepada YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga.

“Selama puluhan tahun, kita semua menjadi saksi Allahyarhamah menjadi teman hidup Tun, berkongsi hari-hari bersama, membesarkan keluarga dan mendampingi beliau ketika memikul amanah kepada negara,” katanya menerusi ucapan takziah beliau hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, sukar untuk dibayangkan kesunyian yang dirasai keluarga berikutan kehilangan insan yang telah begitu lama menjadi pendamping dalam kehidupan.

Dalam pada itu, beliau turut mengenang jasa Allahyarhamah sebagai seorang doktor serta keprihatinannya terhadap kesejahteraan masyarakat.

“Allahyarhamah juga akan dikenang atas khidmatnya sebagai seorang doktor dan keprihatinannya terhadap kesejahteraan masyarakat.

“Kelembutan, kesederhanaan dan keteguhan beliau sepanjang hayat menjadikan Allahyarhamah insan yang disayangi serta menjadi contoh teladan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni Allahyarhamah, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang yang beriman.

Beliau pada masa sama mendoakan agar Tun Dr. Mahathir serta seluruh keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan yang amat besar itu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO