PRN Melaka: BN Muktamad Kerjasama, Penggunaan Logo Minggu Ini – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 27 Sept – Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan bentuk kerjasama politik serta penggunaan logo bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas melengkapkan perbincangan dengan pimpinan parti yang berkaitan minggu ini, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata beliau telah mengadakan perbincangan awal bersama-sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka bagi menilai beberapa pilihan sebelum cadangan itu dibawa ke peringkat tertinggi parti.

“Pada minggu ini kita akan ada perbincangan dengan beberapa pihak untuk menentukan dengan parti gabungan mana atau parti mana kita akan bertanding. Kita menghormati keputusan yang akan dibuat oleh mereka, logo dan lambang apa yang akan mereka gunakan, kita menyerahkannya kepada mereka.
“Hasil perbincangan itu akan dibawa ke kepimpinan utama UMNO dan Dewan Tertinggi BN untuk kita memuktamadkan bentuk persefahaman atau kerjasama apabila Melaka menjalankan pilihan raya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti Malaysia ke-18 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini yang turut dihadiri Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R.S Thannenthiran.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini mengenai kecenderungan Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo PAS pada PRN Melaka sekiranya tiada kata sepakat dicapai.
Sementara itu, di MELAKA, Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan rundingan dengan beberapa parti untuk mencari rakan strategik bagi menghadapi PRN itu akan bermula esok di WTCKL.
“Esok ada pertemuan (dengan parti politik) dan rumusannya akan diangkat kepada Biro Politik dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi untuk kita menilai kelebihan, kekurangan, dan segala apa yang memberikan manfaat kepada parti kita,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Festival Masyarakat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Melaka 2026 di Dewan Serbaguna Semabok Dalam hari ini.
Dewan Undangan Negeri Melaka dibubar berkuat kuasa 23 Sept lepas bagi memberikan laluan kepada PRN Melaka ke-16.
Suruhanjaya Pilihan Raya dijadual mengumumkan tarikh penamaan calon, hari pengundian awal serta hari pengundian rasmi bagi PRN itu pada 7 Okt ini.
Dalam PRN yang diadakan pada 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan manakala Pakatan Harapan (lima kerusi) dan PN (dua kerusi). – Bernama
