Musyawarah Nasional Pertahan Asas Negara – Ahmad Zahid

MELAKA, 26 Sept – Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan isu berkaitan sejarah, asas kenegaraan dan kontrak sosial perlu terus dibincangkan secara terbuka kerana persoalan berkenaan masih berulang dalam wacana semasa.

Beliau yang juga Presiden UMNO, siri Musyawarah Nasional yang mengangkat tajuk-tajuk topikal merupakan kesinambungan kepada isu lama yang diperbaharui dalam konteks semasa, khususnya apabila wujud pihak tertentu yang cuba mengetepikan asas dan akar umbi pembentukan negara.

“Asas tersebut bukan sahaja berkait rapat dengan sejarah, malah merangkumi hakikat kontrak sosial serta pelbagai perkara yang telah dipersetujui bersama sejak pembentukan negara.

“Persoalan ini harus mendepani semua persoalan yang lain. Keindukan itu harus menjadi asas kepada ekosistem bukan sahaja dalam pendidikan dan sosioekonomi, malah dalam sistem politik negara,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata kajian terhadap sistem pendidikan perlu dilaksanakan secara berterusan selaras dengan perubahan sosial dan budaya masyarakat dari semasa ke semasa.

“Kepentingan mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu, termasuk usaha memastikan kedua-dua subjek itu diberi pengiktirafan sewajarnya dalam laluan pendidikan dan alam pekerjaan, khususnya sektor awam.

“Perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh supaya penguasaan Sejarah dan Bahasa Melayu bukan sekadar menjadi syarat akademik, tetapi turut mempunyai nilai dalam pembangunan kerjaya dan pembentukan jati diri,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas, Ahmad Zahid juga  Pengerusi BN,  Ibu Pejabat UMNO/BN telah mengatur dua pertemuan berasingan pada minggu hadapan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung perkara yang akan dibincangkan sebelum pertemuan tersebut berlangsung.

“Baru nak bincang, nak dedah macam mana? Bincang dulu.

“Draf itu akan diperhalusi dan kita mesti melihat dari segi mudarat dan manfaat, mana yang lebih. Tentunya kita sebagai sebuah gabungan politik bersama mahu melihat dari jangka sederhana dan panjang, dari segi manfaat kepada negara dan khususnya kepada gabungan parti kita yang ada,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO