Melaka Simbol Akar Sejarah Dan Pembentukan Identiti Negara – Ab Rauf

MELAKA, 26 Sept – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata,Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan penganjuran forum Musyawarah Nasional yang menampilkan panel, ilmuwan dan cendekiawan berkaitan sejarah dan ilmu kenegaraan.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Negeri Melaka turut merakamkan penghargaan kerana Melaka dipilih sebagai pentas bagi membicarakan isu berkaitan sejarah dan peradaban yang menjadi sebahagian daripada akar pembentukan negara.

“Terima kasih kerana memilih Melaka sebagai pentas untuk berbicara tentang sejarah, peradaban, identiti dan tanah air yang kita warisi bersama.

“Sejarah Melaka berkait rapat dengan perkembangan Alam Melayu menjadikan negeri itu bukan sekadar lokasi penganjuran program, sebaliknya mempunyai nilai simbolik tersendiri dalam usaha memahami akar sejarah dan pembentukan identiti negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Musyawarah Nasional 3.0: Membongkar Polemik Tanah Melayu, di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Musyawarah Nasional Tan Sri Abdul Ghani Osman; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rozi Mamat; Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Datuk Seri Dr Shafie Abdullah; kepimpinan UMNO Negeri Melaka dan peserta-peserta Musyawarah Nasional 3.0.

Mengulas lanjut Ab Rauf yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menjelaskan kedudukan bersejarah itu menjadikan Melaka lokasi yang amat bermakna untuk menjadi pentas perbincangan mengenai sejarah, peradaban, identiti dan tanah air yang diwarisi bersama.

“Ini kerana apabila kita berbicara sahaja tentang Tanah Melayu, alam Melayu, perdagangan dunia, diplomasi, bahasa, undang-undang dan pemerintahan Melayu yang tersusun, nama Melaka pasti akan muncul.

“Inilah bumi yang kecil pada peta, tetapi besar pada lembaran sejarah dunia,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO