PRN Melaka: Rundingan Kerjasama BN Dengan Parti Lain Dalam Masa Terdekat – Ab Rauf
MELAKA, 25 Sept – Rundingan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan parti politik lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dijangka diadakan dalam masa terdekat, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ab Rouf Yusoh
Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata rundingan itu akan bermula sebaik sahaja beliau menerima lampu hijau daripada pimpinan tertinggi UMNO dan BN.
“Rundingan (dengan parti-parti lain) pasti ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2026 di sini semalam.

Mengaitkan rundingan yang akan dijalankan kelak dengan bilangan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi BN pada PRN ke-15 lepas, Ab Rauf berkata jumlah berkenaan merupakan asas kepada rundingon BN.
“Itu asas rundingan kita. Maksudnya, hak kita, yang lain kita boleh berunding. Itu asas,” katanya.
Pada Selasa lepas, Ab Rauf mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa semalam (Rabu).
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan berkata permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi PRN Melaka dibuka mulai semalam untuk semua kategori.
Beliau berkata semua permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian melalui portal MySPR https://myspr.spr.gov.my, manakala tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan kelak.
Penggal DUN Melaka akan berakhir pada 27 Dis depan. – BERNAMA
