Pembubaran DUN Tidak Hentikan Khidmat Kepada Rakyat – Ab Rauf

MELAKA, 24 Sept – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak akan menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, walaupun pembubaran DUN telah menjawab segala persoalan mengenai masa pelaksanaannya, pentadbiran negeri akan terus berfungsi seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan.

“Namun satu perkara yang saya mahu rakyat terus yakin, bila pembubaran DUN bukan bermakna khidmat kepada rakyat turut terhenti.

“Pentadbiran negeri, penyampaian perkhidmatan awam, urusan kebajikan, keselamatan serta segala perkhidmatan harian kerajaan akan terus berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di media sosial selepas meluangkan masa bersarapan di Medan Selera Limbongan sebelum memulakan tugas di pejabatnya pagi ini.

Ab Rauf berkata, kesempatan bertemu rakyat secara langsung amat bermakna kerana ia membolehkan beliau duduk semeja, mendengar cerita serta memahami denyut nadi kehidupan masyarakat.

“Sebelum ini ramai yang bertanya, Tok bila DUN nak dibubarkan. Alhamdulillah, hari ini segala teka-teki sudah terjawab,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah sepanjang tempoh pentadbiran berkenaan.
“Insya-Allah, kita teruskan khidmat dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Kerajaan tetap bekerja, rakyat tetap diutamakan,” katanya.

Beliau turut mengakhiri perkongsian tersebut dengan slogan “Melaka Sayang Rakyat”. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO