0KM Johor Bahru Diberi Nafas Baharu, Fokus Keselesaan Rakyat
JOHOR BAHRU, 17 Sept — Kawasan 0KM Johor Bahru kini diberi nafas baharu sebagai antara tarikan di pusat bandar raya Johor Bahru, menerusi usaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menghidupkan semula ruang bandar untuk manfaat rakyat dan pengunjung.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turun padang malam tadi melihat sendiri suasana kawasan berkenaan pada waktu malam, termasuk aspek kebersihan, keselamatan, keselesaan, aliran pengunjung dan penyelenggaraan.

Menurut Mohd Jafni, pembangunan kawasan tersebut bukan sekadar mencantikkan persekitaran, sebaliknya perlu memberi nilai kepada rakyat serta menjadikan pusat bandar lebih menarik untuk dikunjungi.
“Bukan sekadar memasang lampu atau mencantikkan kawasan, tetapi bagaimana sebuah lokasi boleh diberi fungsi baharu supaya orang datang, berjalan, menikmati suasana dan pada masa sama menggerakkan aktiviti di sekitarnya.”
Beliau berkata, elemen pencahayaan, paparan visual, landskap dan suasana keseluruhan kawasan diharap dapat memberi pengalaman lebih baik kepada pengunjung, selain mengangkat imej Johor Bahru sebagai bandar raya moden dan berdaya saing.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada Projek Menaiktaraf Infrastruktur dan Pengindahan Johor Bahru City Centre (JBCC) yang dilaksanakan MBJB selaras dengan Tahun Melawat Johor 2026.

Bagi kawasan 0KM, ia merupakan salah satu elemen mercu tanda di Node 2 bersama hentian bas strategik dan pencahayaan pokok warisan, dengan perancangan turut memberi penekanan kepada keselamatan serta kemudahan pejalan kaki.
Mohd Jafni turut menegaskan bahawa sesuatu projek perlu terus dipantau dan diselenggara selepas siap bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat dalam jangka panjang.
“Sesuatu projek tidak berhenti apabila siap dibina. Ia perlu dijaga, dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya kekal berfungsi dan terus memberi manfaat kepada rakyat.” – UMNO Online
