Tekad 16 Jadi Pedoman UMNO Hadapi PRU-16 – Najib
SRI GADING, 15 Sept – Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang melabuhkan tirai Sabtu lalu menjadi landasan penting untuk seluruh anggota parti memperkukuh perpaduan serta memperkemas gerak kerja menghadapi cabaran politik mendatang.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri, berkata perhimpunan berkenaan yang sarat dengan perbahasan, pandangan dan amanat perlu dijadikan pedoman dalam meneruskan perjuangan parti.
Menurut beliau, tema ‘Tekad 16’ yang dibawa sempena Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) jelas menggambarkan kesediaan UMNO untuk menghadapi pilihan raya akan datang dengan lebih tersusun dan bersatu.
“Kini tiba masa untuk kita terus memperkemas gerak kerja, memperkukuh perpaduan dan bersama-sama menghadapi cabaran yang akan datang,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Najib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani berkata, semangat yang dibawa menerusi Perhimpunan Agung UMNO 2026 perlu diterjemahkan kepada tindakan di semua peringkat parti, khususnya dalam usaha mendekati rakyat.
Beliau turut mengulangi tiga prinsip utama sebagai pedoman perjuangan UMNO iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
Katanya, kesatuan anggota parti, kesetiaan kepada perjuangan serta khidmat kepada rakyat perlu terus menjadi asas dalam memperkukuh UMNO menjelang PRU-16.- UMNO Online
