Kesetiaan Pada UMNO Bukan Kerana Jawatan – Hisham Suhaily

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Kesetiaan kepada UMNO bukan seharusnya bergantung kepada jawatan, kedudukan atau kepentingan peribadi, sebaliknya perlu kekal berteraskan perjuangan parti, tegas Ketua Wanita UMNO Langkawi yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia, Hisham Suhaily Othman.

Beliau berkata, selepas 25 tahun menjadi ahli UMNO, dirinya tidak pernah terdetik untuk meninggalkan perjuangan parti meskipun UMNO melalui pelbagai fasa sukar dan penuh cabaran.

“Ketika parti sedang sakit dan diuji, saya tetap setia di sisi. Ketika parti sedang tenat dan ditikam dari segenap penjuru, saya tetap setia di sisi.

“Kerana bagi saya, UMNO bukan sekadar sebuah parti politik. UMNO adalah perjuangan,” katanya.

Menurut beliau, ahli UMNO perlu sentiasa meletakkan perjuangan parti mengatasi kepentingan individu, termasuk ketika berdepan perbezaan pandangan, kekecewaan atau kekalahan dalam sesuatu pertandingan.

“Kita mungkin berbeza pandangan. Kita mungkin kecewa. Kita mungkin kalah dalam sesuatu pertandingan.

“Tetapi kekalahan dalam pertandingan tidak seharusnya menjadi alasan untuk meninggalkan perjuangan yang telah kita bina bersama,” katanya.

Hisham Suhaily berkata, amat mengecewakan apabila terdapat segelintir ahli yang sanggup meninggalkan saf perjuangan hanya kerana tidak memperoleh peluang atau kedudukan yang diharapkan.

“Jangan kerana kecewa dengan satu keputusan, kita melupakan puluhan tahun perjuangan.

“Jangan kerana kalah dalam satu pertandingan, kita meninggalkan rumah perjuangan yang telah kita bina bersama,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh ahli UMNO khususnya di Langkawi agar terus kekal dalam saf parti serta tidak mudah terpengaruh dengan mereka yang memilih untuk membawa haluan sendiri.

Katanya, perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan diri dan tidak boleh ditentukan berdasarkan satu musim pemilihan semata-mata.

“Perjuangan ini lebih besar daripada kepentingan diri. Perjuangan ini lebih panjang daripada satu musim pemilihan.

“Perjuangan ini bukan tentang siapa yang mendapat jawatan, tetapi apa yang kita sanggup korbankan demi parti,” katanya.

Beliau berkata, kesetiaan sebenar kepada parti hanya dapat dibuktikan ketika seseorang tidak memperoleh apa yang diharapkan.

“25 tahun berlalu, saya masih di saf yang sama. Ketika menang, saya bersama. Ketika kalah, saya bersama. Ketika senang, saya bersama. Dan ketika UMNO diuji, saya tetap bersama.

“Kesetiaan bukan hanya ketika kita mendapat apa yang kita mahu. Kesetiaan sebenar diuji ketika kita tidak mendapat apa yang kita harapkan,” katanya.

Sehubungan itu, Hisham Suhaily mengajak seluruh ahli UMNO terus berpegang teguh kepada cogankata Bersatu, Bersedia, Berkhidmat demi memastikan perjuangan parti terus dipertahankan. – UMNO Online

 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO