PAU 2026 Selesai, Amanat Perjuangan Terjemah Kepada Tindakan – Sharif Musa

LAHAD DATU, 14 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang berlangsung selama empat hari telah melabuhkan tirainya dengan pelbagai perbahasan, pandangan, teguran serta amanat yang menjadi landasan penting dalam memperkukuhkan perjuangan parti.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, PAU bukan sekadar medan untuk ahli parti berhimpun, sebaliknya menjadi ruang penting untuk memperkukuhkan perjuangan, menyatukan saf kepimpinan serta mendengar denyut nadi akar umbi.

Menurut beliau, segala amanat dan keputusan yang telah dibincangkan sepanjang PAU perlu segera diterjemahkan kepada tindakan, khidmat dan kerja nyata demi kepentingan rakyat.

“Perhimpunan telah selesai, perjuangan baru sahaja bermula. Kini tiba masanya segala amanat dan keputusan yang telah dibincangkan diterjemahkan kepada tindakan, khidmat dan kerja nyata untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, UMNO perlu terus memastikan parti kekal dekat dengan rakyat, di samping memperkukuhkan perpaduan serta mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Dalam masa sama, katanya, Tekad 16 yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai persiapan menghadapi cabaran PRU-16 perlu diterjemahkan dengan gerak kerja yang tersusun dan berterusan di semua peringkat parti.

“UMNO mesti terus dekat dengan rakyat, memperkukuhkan perpaduan, mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara serta menterjemahkan Tekad 16 dalam menghadapi cabaran PRU-16,” katanya.

Sharif Musa turut menyeru seluruh anggota parti agar kembali ke akar umbi bagi mendengar suara rakyat dan memahami keperluan mereka secara lebih dekat.

“Insya-Allah, kita teruskan kerja. Kita turun ke akar umbi, kita dengar suara rakyat dan kita santuni mereka dengan ikhlas,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kekuatan UMNO tidak hanya bergantung kepada persidangan atau perhimpunan, tetapi turut bergantung kepada kesungguhan seluruh jentera parti untuk melaksanakan amanat perjuangan melalui khidmat yang berterusan kepada rakyat.

Menurutnya, semangat yang dibawa dari PAU 2026 perlu diteruskan di peringkat bahagian, cawangan dan akar umbi agar UMNO terus menjadi wadah perjuangan yang dekat dengan rakyat.

“Perhimpunan telah selesai, tetapi perjuangan dan khidmat kepada rakyat mesti diteruskan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO