Agenda Malaysia Biru Cerminan Hala Tuju UMNO/BN

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyifatan Agenda Malaysia Biru sebagai hala tuju jelas bagi memastikan negara terus dipacu ke arah kemajuan menjelang 100 tahun kemerdekaan.

Beliau berkata gagasan tersebut memperlihatkan komitmen UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam merangka persiapan jangka panjang demi masa depan rakyat serta negara.

“Ini merupakan satu pendekatan yang agak jelas tentang hala tuju yang akan dipacu oleh UMNO/BN sekiranya diberikan peluang untuk menerajui negara.

“Antara yang diutarakan ialah ikhtiar menjelang 100 tahun kemerdekaan negara kita… ia memang begitu baik untuk kemajuan negara pada ketika itu,” katanya.

Menurut beliau, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik menerusi peningkatan pendapatan serta penyediaan generasi muda yang mampu menjadi tenaga penggerak pembangunan negara.

Jafry berkata ia penting bagi memastikan pembangunan negara bukan sahaja memberi manfaat kepada generasi semasa, malah menyediakan asas kukuh untuk generasi akan datang.

“Pada ketika rakyat akan menikmati kehidupan yang lebih mencukupi, dengan peningkatan pendapatan yang diperoleh, begitu juga dengan penyediaan tenaga muda yang berkualiti dalam usaha mencapai perkara tersebut.

“Dan saya penuh yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Presiden, kita mampu mencapai apa yang digagaskan menerusi Agenda Malaysia Biru, termasuk lapan inisiatif yang telah digagaskan beliau.

“Kalau kita lihat, semua yang ada pada hari ini juga merupakan hasil usaha UMNO/BN sebagai parti yang telah mencorakkan kemajuan negara kita sejak dahulu sehingga ke hari ini. Banyak yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil usaha kerajaan yang diterajui UMNO,” ujar beliau.

Terdahulu pada ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO, Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan lapan ikhtiar utama menerusi Agenda Malaysia Biru sebagai tawaran baharu sekiranya parti itu bersama BN kembali menerajui Putrajaya.

Lapan ikhtiar itu merangkumi Malaysia sebagai Negara Pencipta, Negara Berkemahiran, Negara Pemilik, Negara Sejahtera, Negara Berdaya Tahan, Negara Peduli, Negara Beramanah dan Negara Berdaulat.

Ahmad Zahid turut memaklumkan Agenda Malaysia Biru akan diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan sebelum dijadikan janji dalam manifesto rasmi BN pada pilihan raya akan datang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO