UMNO Hargai Komitmen Seluruh Keluarga Besar Jayakan PAU 2026

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh keluarga besar UMNO yang bersama-sama menjayakan Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU 2026) yang berlangsung selama empat hari, dari 9 hingga 12 September lalu di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL).

Beliau berkata, kehadiran perwakilan dari seluruh negara termasuk Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO membuktikan bahawa parti itu masih mempunyai akar perjuangan yang kukuh serta semangat kekeluargaan yang terus dipelihara.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang hadir dengan penuh semangat, komitmen dan kesetiaan untuk bersama-sama menjayakan persidangan tahunan parti,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, seluruh ahli dan perwakilan UMNO juga perlu membawa pulang semangat baharu serta amanat yang disampaikan Presiden UMNO untuk diterjemahkan di peringkat akar umbi.

Beliau menyeru agar ikrar dan hala tuju yang dipersetujui sepanjang PAU 2026 dijadikan bekalan bagi meneruskan khidmat kepada rakyat sehingga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam pada itu, beliau turut memberikan penghargaan khusus kepada barisan sekretariat dan urus setia, petugas keselamatan, sukarelawan serta seluruh petugas lapangan yang bertungkus-lumus memastikan perjalanan PAU 2026 berlangsung lancar dan teratur.

Penghargaan turut diberikan kepada pengamal media, jurugambar, juruvideo dan petugas media yang membuat liputan serta menyampaikan perkembangan PAU 2026 kepada rakyat.

“Sesungguhnya, kejayaan PAU 2026 bukan hasil usaha seorang atau satu pihak sahaja, tetapi hasil kerja bersama seluruh keluarga besar UMNO,” katanya.

Asyraf Wajdi berharap ukhuwah, semangat dan tekad yang disatukan sepanjang empat hari persidangan itu terus menjadi kekuatan kepada seluruh anggota UMNO untuk melangkah ke hadapan demi agama, bangsa dan tanah air. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO