Pembangunan KL Tidak Boleh Korbankan Hak Melayu Bandar  

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Agenda pembangunan Kuala Lumpur perlu dilaksanakan secara inklusif tanpa mengorbankan hak pemilikan tanah, warisan serta kedudukan masyarakat Melayu di ibu negara.

Wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk TPr Abdul Razak Abdul Rahman berkata pembangunan semula bandar perlu mengambil kira kepentingan semua lapisan masyarakat, khususnya masyarakat Melayu yang telah lama membentuk sebahagian daripada sejarah dan identiti Kuala Lumpur.

 

Katanya, pembangunan terancang tidak seharusnya menjurus kepada gentrifikasi yang akhirnya menyebabkan masyarakat Melayu secara beransur-ansur terpinggir dan terpaksa berpindah ke kawasan pinggir bandar.

“Pembangunan di Kuala Lumpur tidak boleh sama sekali mengorbankan hak dan warisan pemilikan tanah orang Melayu. Lihatlah di Kampung Baru, lihatlah di kawasan penempatan warisan Melayu di bandar.

“Pembangunan yang terancang mestilah berteraskan konsep pembangunan inklusif,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini, semalam.

Menurut Abdul Razak, perkara itu penting bagi memastikan dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang, masyarakat Melayu tidak hanya menjadi ‘penumpang’ di bandar sendiri.

Beliau berkata, hak Melayu bandar dan perwakilan Bumiputera dalam tadbir urus ibu negara perlu diterapkan serta dipelihara dengan ketat dalam setiap perancangan pembangunan Kuala Lumpur.

Beliau turut mengingatkan supaya sebarang cadangan berkaitan pembangunan semula bandar, termasuk Urban Renewal Act (URA), pilihan raya pihak berkuasa tempatan dan pemilihan Datuk Bandar, diteliti dengan mengambil kira kepentingan serta struktur sosial masyarakat di ibu negara.

“UMNO Wilayah Persekutuan melalui Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebelum ini telah meletakkan garis merah bagi memastikan pembangunan Kuala Lumpur tidak menghakis hak dan kepentingan masyarakat Melayu,” tambahnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO