Onn Hafiz Dinobat ‘Mr Autentik’ UMNO Malaysia – Zaidi
KUALA LUMPUR, 13 Sept – Kepimpinan yang autentik, berpegang kepada kata-kata serta tidak berpura-pura merupakan antara kekuatan yang perlu dimiliki pemimpin UMNO bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.
Wakil Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, kemenangan UMNO di Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini membuktikan bahawa rakyat mampu menerima pemimpin yang tampil dengan keperibadian sebenar, konsisten antara percakapan dan tindakan serta melaksanakan amanah dengan baik.
Katanya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi wajar dijadikan contoh pemimpin yang mempunyai sifat tersebut.

“Hari ini, apa yang anda lihat di Johor? Bagaimana Datuk Onn Hafiz menunjukkan budi pekerti sebagai pemimpin yang lemah lembut.
“Kata-katanya, tindakannya, perbuatannya mencerminkan seorang pemimpin yang benar-benar autentik. Dia tidak berpura-pura dalam setiap perbuatan dan tindakannya. Dia kata ya, tidak kata tidak. Dia berpegang kepada kata-kata dan sentiasa melaksanakan tugas dengan baik,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini.
Beliau menyifatkan Onn Hafiz sebagai ‘Mr Autentik UMNO Malaysia’, selain menganggapnya sebagai contoh pemimpin semula jadi yang tidak perlu berpura-pura untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.
“Ini contoh pemimpin semula jadi. Nak jadi pemimpin tak perlu berpura-pura,” katanya.
Menurutnya, kejayaan UMNO di Johor turut membuktikan parti mampu bangkit daripada cabaran sekiranya mempunyai kepimpinan yang kukuh serta pendekatan politik yang tepat.
Beliau berkata, pendekatan toleransi, muafakat dan rundingan yang baik antara kepimpinan UMNO di Negeri Sembilan juga menjadi faktor penting dalam menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.
Katanya, kerjasama antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menunjukkan bagaimana perbezaan boleh diurus melalui rundingan dan kesepakatan.
“Mereka telah menunjukkan kepada kita bagaimana contoh politik toleransi, muafakat, bincang dengan baik. Ada masa kita mengalah, ada masa kita melangkah ke depan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan tersebut akhirnya membolehkan UMNO dan BN mencapai keputusan lebih baik di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli UMNO supaya tidak takut dengan tekanan politik sebaliknya memberikan kepercayaan kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan hala tuju perjuangan UMNO.
Beliau turut mendakwa pihak lawan yang mengalami kekalahan di beberapa negeri bertindak agresif menyerang UMNO, namun tindakan tersebut akhirnya memakan diri apabila UMNO berjaya mencatat kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan.
Pada masa sama, beliau menegaskan UMNO bukan pihak yang menanam kebencian dalam masyarakat, sebaliknya mendakwa terdapat pihak tertentu yang sejak sekian lama berusaha mewujudkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Justeru, katanya, UMNO perlu terus memperkukuh kesatuan, menampilkan pemimpin yang autentik dan mendekati rakyat tanpa kepura-puraan.
“Jangan kita takut. Kita bagi kepercayaan kepada Presiden kita,” katanya. – UMNO Online
