Jasa UMNO Terus Dikenang… Mahasiswa Luar Negara Hargai Peluang Pendidikan
KUALA LUMPUR, 13 Sept – Jasa UMNO dalam membuka ruang pendidikan dan memperkasa masa depan anak muda terus dikenang mahasiswa Malaysia di luar negara, khususnya menerusi peluang tajaan serta pembangunan institusi yang memberi manfaat kepada rakyat sejak sekian lama.
Bagi Nur Aisyatul Auni, 21, mahasiswa dan anggota Kelab UMNO Luar Negara London, peluang melanjutkan pengajian di luar negara menerusi tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan antara jasa yang paling dekat dengan dirinya.

Menurutnya, sebagai pelajar tajaan YTP MARA (Young Talent Development Programme MARA), beliau berpeluang melanjutkan pengajian di King’s College London, sekali gus memperoleh pendidikan yang lebih berkualiti tanpa dibebani sepenuhnya dengan kos pengajian.
“Jasa yang paling saya kenang ialah peluang pendidikan yang diberikan kepada kami. Saya sendiri merupakan pelajar tajaan YTP MARA dan diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian di King’s College London menerusi tajaan MARA.
“Ia bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi juga memberikan peluang kepada saya untuk mendapatkan pendidikan yang lebih berkualiti,” katanya kepada UMNO Online.
Sementara itu, mahasiswa University of Warwick, Abdul Muiz Abdul Wahid, 22, turut melihat peranan MARA sebagai antara jasa yang sangat besar dalam membuka peluang kepada masyarakat Bumiputera, khususnya dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.

Katanya, selain MARA, pelbagai institusi dan agensi yang diwujudkan hasil dasar kerajaan terdahulu turut memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara.
“Jasa yang sangat saya kenang ialah MARA kerana saya merupakan pelajar tajaan MARA. MARA telah memberikan banyak peluang kepada masyarakat Bumiputera di Malaysia untuk mendapatkan pendidikan yang baik, menceburi bidang keusahawanan serta membantu golongan yang memerlukan.
“Selain itu, tidak dilupakan juga agensi seperti Tabung Haji yang membuka peluang kepada umat Islam untuk membuat simpanan bagi menunaikan ibadah haji,” katanya.
Menurut Abdul Muiz, agensi seperti FELDA, RISDA dan Petronas juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, manakala pelbagai kemajuan yang dinikmati rakyat hari ini lahir daripada dasar dan usaha kerajaan terdahulu.

“Banyak pembangunan yang kita lihat di Malaysia hari ini lahir daripada dasar dan usaha kerajaan terdahulu. Antaranya ialah penubuhan Petronas serta pembangunan mercu tanda seperti Menara Berkembar Petronas.
“Saya rasa perkara ini perlu dihargai dan disedari oleh rakyat Malaysia bahawa banyak institusi dan agensi yang diwujudkan sebelum ini telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara,” katanya.
Manakala bagi mahasiswa Universiti Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Aceh, Tuan Muhammad Akma Asyraaf Tuan Mohd Nasir, 25, berkata, peluang melanjutkan pengajian di luar negara menerusi sokongan agensi kerajaan menjadi antara perkara yang amat dihargainya.

Beliau berkata MARA dan Petronas bukan sahaja membantu membiayai pendidikan, malah turut menyediakan sokongan dari segi penginapan dan kos sara hidup sepanjang berada di luar negara.
“Bagi saya, jasa yang paling saya kenang ialah MARA dan Petronas kerana menerusi tajaan dan sokongan yang diberikan, kami mendapat bantuan dari segi penginapan, kos sara hidup serta pembiayaan pendidikan.
“Kemudahan tersebut sangat membantu kehidupan kami sebagai mahasiswa di luar negara dan menjadi antara perkara yang paling kami hargai,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
