Wakil Sabah Bangkitkan Isu Kuota Diesel, Harga Tiket Kapal Terbang Dan MA63

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Pelaksanaan subsidi diesel bersasar dengan kuota 400 liter disifatkan tidak relevan dengan keperluan rakyat Sabah yang berdepan faktor jarak, bentuk muka bumi, geografi serta jaringan jalan raya yang masih belum sempurna.

Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Azuwan Marjan@Norjan berkata Sabah merupakan antara negeri dengan penggunaan kenderaan diesel yang tinggi di Malaysia berikutan keperluan rakyat untuk melakukan perjalanan jauh antara daerah serta keadaan geografi negeri yang berbeza dengan Semenanjung.

“Orang Sabah lebih gemar menggunakan kenderaan yang menggunakan minyak diesel kerana faktor jarak, bentuk muka bumi dan geografi di Sabah, selain faktor jalan yang belum cukup sempurna.

“Kuota diberi 400 liter. Sangat tidak relevan dan tidak cukup untuk kami di Sabah. Bayangkan daripada daerah ke daerah di Sabah, jaraknya mengambil masa lebih kurang seperti jarak daripada negeri ke negeri di Semenanjung Malaysia.

“Ianya sangat tidak relevan. Saya mewakili UMNO Sabah dan juga rakyat Sabah mencadangkan kepada kerajaan agar menghapuskan sistem subsidi bersasar ini,” katanya ketika membahas Usul Ucapan Dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Seterusnya, Azuwan berkata rakyat tidak seharusnya terus dibebankan dengan pelbagai kuota dan syarat yang menyukarkan, terutama apabila keperluan diesel dan petrol digunakan dalam aktiviti kehidupan serta ekonomi harian.

Katanya, antara perkara yang menimbulkan kesukaran ialah syarat pemilikan kenderaan diesel bagi mendapatkan kuota berkenaan, sedangkan terdapat pengguna yang menggunakan kenderaan diesel tetapi tidak memiliki atau mendaftarkan kenderaan tersebut atas nama sendiri.

Dalam pada itu, Azuwan juga membangkitkan isu tambang penerbangan yang menurutnya masih terlalu mahal walaupun terdapat sedikit penurunan harga.

Katanya, perkara itu amat dirasai ibu bapa yang perlu menghantar anak-anak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), khususnya pada bulan September ketika pendaftaran pelajar berlangsung.

“Ramai yang mengadu kepada ketua-ketua bahagian dan pemimpin-pemimpin UMNO mengenai ketidakmampuan mereka membeli tiket penerbangan yang terlalu mahal,” katanya.

Menurutnya lagi, terdapat keluarga yang terpaksa berdepan kesukaran kewangan sehingga ada pelajar yang sanggup menangguhkan pengajian berikutan tidak mampu menanggung kos penerbangan.
Malah, katanya, isu tambang penerbangan bukan sekadar membabitkan pelajar, tetapi turut memberi kesan kepada anak-anak Sabah yang bekerja dan menetap di Semenanjung apabila berlaku kecemasan melibatkan keluarga di Sabah.

Selanjutnya, Azuan berkata penyelesaian tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus menjadi keutamaan sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Kerajaan Persekutuan.

Azuwan berpandangan, perbincangan berkaitan MA63 yang berlangsung baru-baru ini melibatkan pimpinan kerajaan pusat, Sabah dan Sarawak, namun difahamkan masih belum menghasilkan penyelesaian yang tuntas terhadap perkara-perkara yang menjadi tuntutan kedua-dua wilayah berkenaan. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO