UMNOSiswa Sedia Jadi Penyambung Perjuangan, Kekal Bersama Parti – Hattim Iqbal
KUALA LUMPUR, 12 Sept – UMNOSiswa menegaskan komitmennya untuk terus menjadi penyambung perjuangan dan legasi UMNO, khususnya dalam mendepani cabaran politik serta memastikan suara generasi muda terus menjadi sebahagian daripada agenda parti.
Jurucakap UMNOSiswa, Muhammad Hattim Iqbal Ghazali berkata, anak muda hari ini bukan sekadar pewaris perjuangan, sebaliknya mempunyai tanggungjawab besar untuk menyambung legasi dan harapan bangsa demi masa depan.
“Kita bukan sekadar pewaris perjuangan. Kita ialah penyambung perjuangan, menyambung legasi, menyambung harapan dan menyambung perjuangan untuk masa depan bangsa.
“Johor mengajar kita tentang disiplin, manakala Negeri Sembilan mengajar kita tentang keberanian untuk turun ke lapangan. Pengalaman itu akan kita bawa ke hadapan.
“Apa pun cabaran yang menanti, UMNOSiswa akan terus bersedia dan kekal kukuh berada di belakang parti keramat ini. Kerana apabila anak muda diberi kepercayaan, anak muda mesti membalas kepercayaan itu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Mengulas gerak kerja UMNOSiswa dalam PRN Johor, beliau berkata pergerakan itu menjadi antara jentera hadapan parti, termasuk melalui operasi pusat panggilan yang berjaya menghubungi 11,266 pengundi mahasiswa.
“Hasilnya, hampir semua saluran muda dimenangi oleh Barisan Nasional (BN). Di Negeri Sembilan, UMNOSiswa berjaya menghubungi 3,842 pengundi mahasiswa menerusi gerak kerja pusat panggilan selain turun ke lapangan melalui program Speaker Corner dan Jelajah GenZ Bersama BN di seluruh negeri.
“Kita turun bukan untuk mencari nama, kita turun kerana mahu bekerja, namun ianya sudah tentu bukan usaha kami semata-mata,” katanya lagi .
Hattim Iqbal turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan UMNO, jentera negeri dan bahagian serta Pergerakan Pemuda dan Puteri kerana memberikan ruang kepada UMNOSiswa untuk bersama-sama memainkan peranan dalam gerak kerja parti.
“Perjuangan UMNOSiswa tidak akan berakhir selepas perhimpunan, sebaliknya tanggungjawab sebenar bermula apabila mereka kembali ke negeri, bahagian dan bersama rakyat. Perjuangan tidak selesai apabila perhimpunan ini melabuhkan tirai. Perjuangan bermula apabila kita kembali ke negeri, kembali ke bahagian dan kembali kepada rakyat.
“Kami bersedia untuk bekerja. Hari ini kita berdiri bukan untuk mengenang masa lalu, tetapi untuk menyambut masa depan. Orang Melayu sudah terlalu lama mendambakan penyatuan. Sudah tiba masanya kita berhenti membesarkan perbezaan dan mula mencari titik persamaan. Saya percaya UMNO mesti berani mengetuai penyatuan orang Melayu, tetapi penyatuan itu mesti berdiri di atas prinsip,” jelasnya.
Seterusnya kata beliau, usaha penyatuan berkenaan perlu berpaksikan penghormatan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan serta prinsip Raja Berperlembagaan.
“Kita mesti mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan prinsip Raja Berperlembagaan. Jangan kerana kepentingan politik, kita berani mempertikaikan apa yang telah dijamin oleh Perlembagaan.
“Apa jua keputusan yang dibuat melalui proses perlembagaan yang sah, kita hormati kerana mempertahankan Raja juga bererti mempertahankan Perlembagaan,” tegasnya. – UMNO Online.
