Selangor Perlukan Kerajaan Tahu Destinasi, Bukan ‘Recalculating’ – Noorazli Said

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Selangor perlukan kerajaan yang jelas hala tuju, bukannya pentadbiran yang sentiasa ‘recalculating’ dalam menentukan arah perjalanan negeri, kata Jurucakap Negeri Selangor, Datuk Noorazli Said.

Beliau berkata, Selangor memerlukan kepimpinan yang mempunyai visi dan keberanian untuk menetapkan destinasi sejak awal, bukannya terus mencari arah selepas berdepan tekanan atau perubahan keadaan.

“Selangor tidak perlukan kerajaan yang sentiasa ‘recalculating’. Selangor perlukan kerajaan yang tahu destinasi sebelum memulakan perjalanan dan UMNO mesti menawarkan kepimpinan itu. Kepimpinan yang sederhana tetapi tegas.

“Kepimpinan yang menjaga semua kaum tetapi memahami sensitiviti majoriti. Kepimpinan yang mempertahankan alam sekitar. Kepimpinan yang mendengar rakyat dan kepimpinan yang menjunjung dan menghormati institusi Raja Berperlembagaan.

“Itulah Selangor yang kita mahu bina dan kalau rakyat memberikan kita peluang… kita jangan sekadar tukar pemandu tapi tukar cara memandu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepang mencadangkan Kerajaan Negeri  Selangor mempertimbangkan penggunaan sistem penternakan babi moden, dan isu tersebut turut dikaitkan dengan prinsip kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Kuasa Sultan dalam Perlembagaan adalah penting, tetapi titah sultan secara umumnya tidak mengatasi undang-undang atau Perlembagaan. Sultan sudah bertitah, rakyat sudah menyuarakan keresahan maka Kerajaan Negeri Selabor yang akhirnya membuat keputusan, namun isu itu masih boleh muncul kembali dalam Dewan Negeri.

“Siapa sebenarnya menentukan hala tuju dasar di Selangor?  Adakah kerajaan negeri mempunyai satu pendirian yang benar-benar jelas?  Atau apabila tekanan datang dari satu arah, kita kata A… tekanan datang dari arah lain, kita kata B… dan apabila rakyat marah… kita kata, ini masih dalam kajian,” katanya lagi.

Ujarnya yang lebih menarik, jawapan rasmi Kerajaan Negeri dalam DUN akhirnya menyatakan perancangan penstrukturan semula ladang babi termasuk pengeluaran lesen operasi penternakan tidak akan diteruskan.

“Keputusan itu dinyatakan muktamad dan tiada perancangan pada masa hadapan, selaras dengan pendirian Sultan Selangor. Sebab itu UMNO jangan takut bercakap. Tetapi kita bercakap dengan fakta. Kita jangan serang kaum cina. Orang cina bukan musuh kita. Masyarakat bukan Islam pun bukan musuh dan penternak juga bukan musuh kita.

“Yang persoalkan ialah dasar dan proses membuat keputusan kerajaan. Kerana sebuah kerajaan yang baik bukan sekadar pandai mengumumkan sesuatu. Kerajaan yang baik mesti mengkaji sebelum mengumumkan. Mendengar sebelum membuat keputusan, menilai kesan alam sekitar, menilai sensitiviti masyarakat,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO