Pemuda OKU Cerebral Palsy Sertai UMNO, Kenang Jasa Pejuang

KUALA LUMPUR, 12 Sept — Kekangan fizikal bukan penghalang buat Mohd Izzat Md Yusof, 43 tahun, seorang orang kurang upaya (OKU) yang menghidap cerebral palsy (CP) mengambil keputusan menyertai UMNO secara rasmi.

Walaupun baru bergelar ahli UMNO, beliau berkata sokongan dan kesetiaannya terhadap parti itu bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya lahir daripada rasa menghargai perjuangan serta pengorbanan pemimpin dan anggota parti terdahulu.

“Saya mungkin baru menjadi ahli secara rasmi, tetapi UMNO bukanlah sesuatu yang asing bagi saya.

“Membesar dengan melihat perjuangan orang-orang terdahulu dan pengorbanan mereka untuk parti serta negara.

“Bagi saya, jasa dan perjuangan mereka tidak seharusnya dilupakan. Itu yang membuatkan saya terus setia dan mahu menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMNO,” katanya ketika ditemui UMNO Online selepas mendaftar sebagai ahli di kaunter Keahlian UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Beliau hadir bersama ibu bapanya untuk mendaftar sebagai ahli dan seterusnya mendapatkan kad keahlian UMNO.

Lebih bermakna, selepas menerima kad keahlian tersebut, Mohd Izzat turut berpeluang memasuki Dewan Merdeka untuk mendengar sendiri perbahasan serta mengikuti perkembangan dan hala tuju parti bersama para perwakilan.

Sementara itu beliau memaklumkan keputusan untuk terus bersama UMNO didorong oleh rasa tanggungjawab serta semangat yang masih kuat terhadap parti itu.

Katanya, semangat berkenaan tidak pernah luntur meskipun UMNO pernah melalui pelbagai cabaran dan jatuh bangun dalam perjuangannya.

“Saya masih lagi UMNO. Walaupun UMNO pernah jatuh dan berdepan pelbagai cabaran, saya tetap memilih untuk kekal sebagai ahli UMNO.

“Bagi saya, UMNO dekat dengan perjuangan orang Melayu. Saya memang orang UMNO dan semangat saya terhadap parti ini masih tinggi.

“Walau siapa pun yang memimpin atau apa jua cabaran yang dihadapi, saya tetap dengan UMNO kerana rasa tanggungjawab dan semangat terhadap parti ini masih kuat,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO