Laman Wanita Kreatif Meriahkan PAU 2026, Usahawan Tampil Produk Kreatif

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Perhimpunan Agung UMNO 2026 bukan sahaja menjadi medan perbahasan dan percaturan hala tuju parti, malah turut membuka ruang kepada orang ramai untuk mengenali bakat, kreativiti serta potensi keusahawanan wanita menerusi Laman Wanita Kreatif 2026.

Berlangsung di Ruang Legar Aras 2, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, program anjuran Wanita UMNO Malaysia di bawah Sekretariat Pembangunan Ekonomi dan Kewangan itu mengetengahkan tema “Wanita Mendunia”.

Lebih menarik, edisi tahun ini menghimpunkan sebanyak 20 booth yang disertai 26 usahawan wanita dari pelbagai negeri, sekali gus menjadikan Laman Wanita Kreatif sebagai antara lokasi yang wajar dikunjungi sepanjang berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Pengerusi Sekretariat Pembangunan Ekonomi dan Kewangan Wanita UMNO, Datuk Maizatul Akmam Alawi, berkata platform berkenaan memberi peluang kepada wanita mengetengahkan hasil kreativiti, produk serta kepakaran masing-masing kepada pengunjung.

“Antara yang dipamerkan termasuk produk negeri, kraftangan, fesyen dan tekstil, makanan tradisi, produk kecantikan dan kesihatan, koperasi serta pelbagai produk usahawan wanita.

“Bukan sekadar pameran, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelbagai demonstrasi secara langsung, termasuk pembuatan produk serta demonstrasi berkaitan kesihatan dan kecantikan. Turut diadakan sesi bual bicara dan pelbagai aktiviti menarik yang memberi peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan para usahawan,” katanya.

Ujarnya, Laman Wanita Kreatif sebelum ini telah dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut memberikan sokongan terhadap usaha memperkasa wanita dalam bidang ekonomi, kreativiti dan keusahawanan.

Program yang diadakan setiap tahun bersempena Perhimpunan Agung UMNO ini menjadi platform penting dalam mengetengahkan kemampuan wanita untuk terus berkembang, mencipta peluang ekonomi dan membawa produk tempatan ke peringkat yang lebih luas.

Justeru, orang ramai yang hadir ke WTC Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 dijemput singgah ke Laman Wanita Kreatif 2026 untuk melihat sendiri kepelbagaian produk dan hasil kreativiti usahawan wanita dari seluruh Malaysia. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO