KULN dan UMNOSiswa Aset, Duta Kecil Parti – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berpandangan bahawa para perwakilan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) dan UMNOSiswa adalah aset dan duta kecil parti.

Ujarnya, KULN dan UMNOSiswa merupakan sayap muda yang perlu dididik sebagai pelapis kepimpinan pada masa hadapan.

“Semalam, saya mengadakan satu perjumpaan yang menjadi rutin setiap tahun ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU), iaitu Puteri UMNO mengadakan pertemuan dengan mahasiswa dari dalam dan luar negara.

“Dalam pertemuan ini, banyak perkara kita kongsikan termasuk pandangan, hasrat mereka terhadap Puteri UMNO dan sebagainya.

“Satu perkara yang saya lihat, semangat mereka untuk bersama UMNO amat tinggi. Cuma mungkin kita sebagai sayap muda perlu mendidik mereka supaya boleh menjadi pemimpin pada masa hadapan.

“Ini antara aset parti yang kadang-kadang kita rasa kecil atau tidak penting, tetapi sebenarnya impaknya sangat besar,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa gelombang sokongan anak muda terhadap parti perlu dijaga dengan sebaiknya untuk dibawa ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Sokongan anak muda meningkat dan gelombang biru itu dapat dilihat dalam kalangan orang muda sekarang. Tetapi gelombang biru ini kita kena jaga kerana orang muda ini adalah pengundi yang tidak statik. Itu satu perkara yang kita kena tahu.

“Saya harapkan orang muda terus bersama gelombang biru ini dan memberikan kepercayaan kepada kami. Kami akan buktikan kemampuan.

“Membina negara ini bukan satu perkara yang mudah dan orang muda memainkan peranan sangat penting kerana mereka merupakan penentu dalam apa jua pilihan raya.

“Tidak kiralah pilihan raya kecil, pilihan raya negeri mahupun PRU, anak muda adalah antara kelompok yang menjadi penentu. Itulah yang menjadi satu cabaran. Tidak dinafikan, ia merupakan satu cabaran kepada Puteri UMNO untuk mengekalkan gelombang biru,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan berusaha untuk mengekalkan gelombang biru agar anak muda terus memberi kepercayaan kepada parti.

“Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti, kita akan cuba mencari satu jalan untuk mengekalkan gelombang biru itu supaya ada ‘good vibe’ kepada gelombang biru dan anak muda terus memberikan kepercayaan kepada UMNO.

“Adik-adik ini adalah duta kecil kepada orang muda di setiap universiti dan sebagainya. Jadilah yang terbaik. Melatih pemimpin ini bermula dengan tanggungjawab.

“Adik-adik belajarlah memimpin di universiti terlebih dahulu dan Insya-Allah, anda semua akan menjadi pemimpin dalam UMNO, mungkin juga negara satu hari nanti,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO