Jangan Ulang Kesilapan, Pandang Ke Hadapan – Fathul Bari
KUALA LUMPUR, 12 Sept – UMNO tidak seharusnya mengulangi tindakan politik yang pernah dilakukan terhadap parti dan pemimpinnya, sebaliknya perlu melihat jauh ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada agenda membangunkan negara, kata Jurucakap Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
Beliau berkata, kelemahan atau kesalahan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti sememangnya perlu ditangani mengikut saluran yang sewajarnya, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencari-cari kesalahan sehingga mengaibkan atau menghukum rakan sendiri.
“Kalau ada kelemahan, kita perbaiki. Kalau ada kesalahan, kita ambil tindakan. Tetapi jangan sampai kita mencari-cari kelemahan untuk menghukum, memalukan dan menjatuhkan rakan-rakan kita.
“Harapan saya, apabila kita memerintah nanti dengan agenda Malaysia Biru, kita jangan lakukan kepada orang lain sebagaimana apa yang pernah dilakukan terhadap kita hari ini,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, semalam.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar menjelaskan, UMNO perlu mempunyai pandangan jauh kerana agenda perjuangan parti bukan sekadar untuk tempoh lima atau 10 tahun, sebaliknya perlu memikirkan hala tuju negara untuk generasi akan datang.
“Cukup… kita perlu membangun. Kita kena melihat ke depan. Agenda yang dibawa hari ini ialah agenda 100 tahun, bukan lagi agenda jangka pendek.
“Mandat daripada Presiden UMNO mesti melihat ke hadapan. Kita perlu mula berfikir tentang survival parti dan memastikan UMNO terus kekal relevan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fathul Bari menegaskan kepentingan mempertahankan institusi yang menjadi tunjang kepada kepentingan Melayu dan Islam di negara ini, selain memastikan sebarang kelemahan ditangani melalui siasatan dan tindakan yang adil.
“Budaya perbincangan, toleransi dan musyawarah diperkukuhkan dalam kalangan pemimpin serta ahli UMNO, terutama ketika berdepan perbezaan pandangan.
“Perbezaan dalam politik adalah perkara biasa dan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha mencari titik persamaan demi kepentingan parti dan umat,” ujarnya. – UMNO Online
