Intipati Ucapan Dasar Presiden Padat…Sentuh Rumah Bangsa, GST – Nizar Najib

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Konsep ‘Rumah Bangsa’ yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilihat mampu menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan dalam parti selain membuka ruang kepada pemimpin dan anggota yang pernah menjauhkan diri untuk kembali bersama perjuangan UMNO.

Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib berkata, ucapan Presiden turut memperlihatkan keterbukaan beliau untuk membina kesepakatan politik secara ikhlas dan berteraskan prinsip saling menghormati antara rakan gabungan.

“Presiden berpesan sekiranya ada apa-apa gabungan politik ataupun kesepakatan politik, ia mesti dibuat dengan cara yang ikhlas. Jangan khianati rakan dalam satu gabungan.

“Beliau tidak mahu episod lalu berulang apabila sudah ada kesepakatan dengan rakan tertentu tetapi akhirnya tidak menjadi, malah ada pihak yang menjadi dalang dan sebagainya,” katanya.

Menurut Nizar, gagasan ‘Rumah Bangsa’ memperlihatkan jiwa besar Presiden dalam usaha menyatukan semula kekuatan parti dengan mengajak mereka yang pernah menjauhkan diri daripada UMNO untuk kembali berganding bahu di bawah satu payung perjuangan.

“Saya lihat banyak sambutan daripada pemimpin-pemimpin terdahulu yang mahu masuk semula. Nama-nama mereka disebut dalam ucapan tadi.

“Itu satu proses yang saya fikir dapat mengukuhkan lagi perpaduan dalam parti, bahkan memperkukuh UMNO untuk menghadapi cabaran-cabaran seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan usaha Presiden mendekati golongan muda termasuk Gen Z dan Gen Alpha sebagai antara perkara menarik dalam ucapan dasar tersebut.

Katanya, UMNO perlu terus mendekati generasi baharu bagi memastikan parti kekal relevan dengan aspirasi dan realiti semasa.

Mengulas cadangan Presiden supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan, Nizar berpandangan perkara tersebut wajar dipertimbangkan bagi memperkukuh sumber pendapatan negara.

“Saya fikir itu satu cadangan yang wajar untuk mengukuhkan lagi sumber pendapatan Malaysia. GST merupakan satu sistem yang telus untuk diamalkan.

“Malangnya kita antara negara yang sudah memperkenalkan GST tetapi kemudian beralih semula kepada SST. Sekarang hendak gabungkan pula dan buat secara hibrid. Pada saya, itu tidak praktikal,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu membuat pilihan yang jelas sama ada mahu mengekalkan SST atau kembali kepada GST.

Katanya, Malaysia juga pernah mempunyai pengalaman melaksanakan GST termasuk dari segi sistem dan latihan, namun pelaksanaannya dimansuhkan atas faktor politik.

Sementara itu, menyentuh perkembangan membabitkan ayahandanya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nizar berkata keluarga akan terus bersabar menantikan perkembangan seterusnya.

“Pihak keluarga sudah melalui macam-macam sejak lapan tahun lalu. Jadi kami bertabahlah dan bersabarlah. Kita terus berikhtiar dan berdoa agar keputusan seterusnya memihak kepada keluarga Najib,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO