Gen Z Teruja Keterbukaan UMNO, Banyak Jasa Kepada Negara
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menjadi platform untuk anak muda mengenali dengan lebih dekat perjuangan dan gerak kerja parti, selain membuka ruang kepada golongan berkenaan mengikuti perbahasan serta perkembangan semasa UMNO.
Bagi anak muda dari Kota Tinggi, Johor, Muhammad Nazri Azmi, 24 tahun, beliau berkata keterbukaan PAU 2026 yang dilihat lebih mesra generasi muda memberi peluang kepada golongan seperti beliau untuk mengenali perhimpunan berkenaan dengan lebih dekat.
“Saya datang ke sini sebab memang hendak tahu PAU itu macam mana. Ini sebenarnya baru tahun kedua atau ketiga saya datang.
“Dulu saya ingat kalau nak datang ke PAU kena ada pas dan hanya mereka yang dipilih di peringkat bahagian sahaja boleh hadir. Rupanya semua orang boleh datang.
“Saya rasa PAU tahun ini lebih mesra, khususnya kepada Gen Z. Sebab itu saya ajak kawan-kawan datang, lepak dan minum kopi di WTC (Pusat Dagangan Dunia) sambil melihat sendiri suasana PAU,” katanya.
Sementara itu, Zuliris Fariz Zuraini, 21 tahun dari Shah Alam, beliau berkata kehadirannya ke PAU 2026 adalah untuk melihat sendiri perjalanan perhimpunan berkenaan serta mengikuti perkara yang dibentangkan dan dibahaskan.
Mengulas mengenai kecenderungannya untuk terus menyokong UMNO meskipun terdapat pelbagai parti politik lain, Zuliris berkata faktor sejarah serta kedudukan UMNO sebagai parti yang mempunyai kaitan rapat dengan perjuangan orang Melayu menjadi antara sebab beliau memilih parti itu.
“Bagi saya, UMNO ini parti warisan dan dekat dengan perjuangan orang Melayu. Saya teringat semua jasa yang telah dilakukan oleh UMNO dan pemimpin-pemimpinnya selama ini.
“Kita bukan hanya melihat kepada pemimpin kerana pemimpin boleh bertukar ganti, tetapi kita juga melihat kepada parti dan orang-orang yang bertanggungjawab melaksanakan amanah kepada rakyat.
“Di tempat saya, saya melihat UMNO banyak menjalankan tanggungjawab untuk membantu mereka yang memerlukan serta menganjurkan pelbagai aktiviti untuk masyarakat. Jadi, saya rasa perjuangan itu perlu diteruskan,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
