UMNO Tidak Mampu Banyak Kepala, Perkukuh Kesatuan – Mohd Fared
KUALA LUMPUR, 11 Sept – UMNO tidak mampu bergerak dengan terlalu banyak pandangan dan haluan sebaliknya seluruh kepimpinan serta ahli perlu menyatukan pemikiran bagi memastikan agenda parti dan perjuangan bangsa terus diperkukuh.
Pencadang Usul Ucapan Dasar Presiden, Mohd Fared Mohd Khalid berkata pengalaman yang dilalui UMNO perlu dijadikan pengajaran untuk membina kesatuan serta mengelakkan sebarang bentuk perpecahan dalaman.
“UMNO tidak mampu banyak kepala. Kepalanya mesti satu, nakhodanya juga hanya satu. Timbalan dan para pembantu tugasnya wajiblah bantu-membantu.
“Kalaupun ada terasa, lupakanlah. Kalau ada tidak puas hati, nyatakan dalam mesyuarat kita, nyatakan dalam perhimpunan kita melalui pembahas negeri masing-masing. Jangan ada cerita belakang dan lebih teruk, jangan ada tikam belakang,” katanya ketika berucap sebagai pencadang Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini, hari ini.
Beliau yang mewakili UMNO Johor seterusnya berkata, segala perbezaan pandangan perlu diselesaikan melalui saluran yang betul dan tidak dibawa kepada perpecahan yang akhirnya hanya akan melemahkan parti.
Katanya, UMNO perlu memberi ruang kepada generasi pelapis untuk memacu pergerakan serta agenda bangsa dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang kekeliruan atau perbezaan dalam kalangan ahli boleh diselesaikan sekiranya seluruh keluarga UMNO kembali kepada semangat muafakat dan kebersamaan.
“Sedarlah kepentingan untuk kita terus bersatu padu. Allah sebut dalam Surah Al-Anfal ayat 46, bahayanya kita ini pecah belah dan bantah-membantah.
“Jauhi perbalahan kerana kita akan menjadi lemah dan hilang kekuatan,” katanya.
Mohd Fared berkata semangat persaudaraan, kasih sayang dan saling mempercayai perlu menjadi asas dalam menghadapi segala ujian serta cabaran yang dilalui UMNO.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO atas ketabahan dan kecekalan mengemudi parti dalam menghadapi pelbagai cabaran.
“UMNO cuma akan hilang kekuatan kalau kita sendiri yang membenarkan ia terjadi. Berkat kuat cekalnya semangat Presiden kita, dapat pula Timbalan Presiden parti yang amanah, setia. Ahli Majlis Kerja Tertinggi juga semuanya sepakat, kuat bekerja. UMNO kini terus kukuh dan terbina kekuatannya,” katanya.
Beliau berkata kepimpinan yang terus memperkukuh kesatuan dan muafakat akan memastikan UMNO kekal mempunyai wibawa serta kekuatan untuk menghadapi cabaran politik semasa.
“Datuk Seri Presiden, kami ahli-ahli di bawah ini melihat wibawa Datuk Seri memimpin terus erat kesatuan utuh, berkat muafakat, musuh nak masuk pun dah tak sempat dan tak lelap,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fared turut menyeru seluruh ahli UMNO supaya terus berdoa dan tidak berputus asa berhubung perkembangan yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, ahli parti yang menghargai jasa serta pengorbanan bekas Presiden UMNO itu perlu terus mendoakan agar segala urusan dipermudahkan.
“Jangan gundah-gulana, jangan sedih. Terus berdoa kepada Allah. Mudah-mudahan kuasa prerogatif eksekutif Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal 42 Perlembagaan nanti akan dapat memberikan keceriaan kepada kita semua.
“Tangguh sekejap pun tidak apa, mudah-mudahan ada hikmah di sebaliknya,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan UMNO tidak boleh lagi bersikap takut atau berundur apabila berdepan cabaran politik.
“Tuan-tuan, jangan sampai kita dizalimi. Berkawan hanya kepada mereka yang mahu bersahabat, tetapi kalau mereka ajak kita bersilat, UMNO sediakan pencak gelanggang.
“Kita tidak boleh lagi jadi pengecut. Kita jangan lagi berundur. UMNO kena bangkit sebagai perjuangan bangsa, menegakkan agama, bangsa dan tanah air,” tegasnya. – UMNO Online
