UMNO Bukan Stesen Transit Politik – Mohd Isam 

KUALA LUMPUR, 11 Sept – UMNO tidak boleh dijadikan sekadar ‘stesen transit politik’ oleh individu yang hanya bersama parti ketika memperoleh jawatan atau menikmati kedudukan, tegas Juru cakap Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

Beliau berkata, UMNO sejak penubuhannya pada 1946 dibina berasaskan kesetiaan, pengorbanan dan disiplin perjuangan, bukannya atas kepentingan jawatan.

“Setia ketika susah, bertahan ketika kalah dan tidak meninggalkan parti apabila tidak berkuasa. Kesetiaan inilah yang membezakan antara pejuang dan penumpang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Beliau yang juga penyokong usul ucapan dasar presiden seterusnya menambah apabila seseorang diberikan ruang dan kepercayaan menerusi platform UMNO, kesetiaan kepada parti bukan lagi sesuatu yang boleh dipilih sesuka hati, sebaliknya merupakan kewajipan moral dan politik.

Beliau berkata, tindakan meninggalkan parti selepas tidak mendapat jawatan atau tidak dipilih sebagai calon bukan sekadar melibatkan soal peribadi, malah boleh menjejaskan maruah serta disiplin parti.

“Ini bukan soal peribadi tetapi adalah soal prinsip, apabila parti menjadi sekadar alat untuk jawatan dan UMNO dilihat boleh ditinggalkan apabila hilang segala nikmat.

“Isu ini perlu dijadikan iktibar oleh parti kerana yang tercalar bukanlah individu tetapi maruah dan disiplin parti. Maka, UMNO tidak boleh lagi diumpamakan seperti stesen transit politik oleh individu sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Isam berkata UMNO perlu terus memberikan ruang kepada generasi muda yang menyertai parti untuk mengasah bakat dan kepimpinan mereka.

Katanya, peningkatan kepercayaan golongan muda terhadap UMNO perlu disusuli dengan peluang yang sewajarnya dalam organisasi parti.

Mohd Isam seterusnya menegaskan individu yang mewakili UMNO dalam pilihan raya perlu mendapat penerimaan akar umbi, bukannya dipilih semata-mata berdasarkan hubungan peribadi.

“Calon yang akan mewakili kita dalam pilihan raya hendaklah individu yang diterima oleh akar umbi parti di peringkat cawangan dan bahagian. Hentikan amalan menjadikan seseorang itu sebagai calon atas dasar dia itu kawan kita, hentikan amalan memilih seseorang itu sebagai calon atas dasar mengikut selera tekak kita tanpa mendengar pandangan ahli akar umbi,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) bergantung kepada kesetiaan ahli, disiplin organisasi serta kesediaan seluruh anggota parti meletakkan kepentingan perjuangan mengatasi kepentingan peribadi.

Dalam ucapannya, Mohd Isam turut menyeru seluruh ahli UMNO supaya terus bersatu dan mempertahankan perjuangan parti dalam apa jua keadaan.

“PRU-16 yang bakal dihadapi, bukan sekadar soal kerusi. Ianya soal menyelamatkan maruah perjuangan, maruah parti, maruah bangsa dan masa depan negara,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO