UMNO Buka Pintu, Tidak Halang Anak Muda Berkarya

KUALA LUMPUR, 11 Sept – UMNO sentiasa membuka peluang dan tidak pernah menghalang anak-anak muda untuk bergiat aktif serta berkarya dalam parti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh berkata respons yang diterima beliau ketika pertemuan bersama para pelajar Kelab UMNO Luar Negara (KULN) adalah amat baik.

“Alhamdulillah, hari ini saya berjumpa dengan adik-adik UMNOSiswa bersama KULN. Banyak perkara yang kami bincangkan dan kongsikan bersama, antaranya kesan selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dihapuskan serta cabaran politik dihadapi anak-anak muda dalam keadaan dan masa sekarang.

“Alhamdulillah, mereka menunjukkan respons yang sangat baik. Saya percaya kalau beginilah pemikiran dan semangat adik-adik mahasiswa kita… insya-Allah, Malaysia mempunyai masa depan yang sangat cerah dengan pemimpin-pemimpin pelapis seperti ini.

“Antara perkara yang saya tekankan kepada mereka ialah UMNO ini berbeza dengan parti-parti lain. UMNO tidak menghalang mereka untuk berkarya, malah kita membuka pintu seluas-luasnya kepada anak-anak muda. Apa sahaja yang mereka ingin lakukan, ‘come to’ UMNO. Insya-Allah, UMNO akan cuba membantu mereka untuk terus berkarya dengan cara mereka sendiri,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, pemimpin pelajar perlu membawa suara mahasiswa kepada pihak sepatutnya apabila berdepan dengan sebarang permasalahan.

Tambahnya, demonstrasi adalah tidak salah dan ia perlu dilakukan secara berhemah.

“Pertama, saya kata tadi, ‘go ahead’ kalau dirasakan itu adalah perkara yang betul. Sebagai seorang pemimpin, mereka mesti membawa suara orang yang dipimpin. Kalau dalam konteks pemimpin mahasiswa, maka suara mahasiswa itu adalah penting.

“Cuma, apa sahaja perkara mesti dibawa kepada perbincangan. Perbincangan mesti dijalankan dengan sebaik-baiknya. Tetapi kalau sudah dibuat perbincangan demi perbincangan, namun tiada keputusan dan isu-isu mahasiswa mungkin diabaikan, maka kita perlu pergi ke peringkat yang lain.

“Tadi ada yang bertanya, boleh tak buat demonstrasi? Saya kata, ‘by all means’, demonstrasi itu tidak pernah salah. Tetapi lakukanlah secara berhemah. Kita tidak mahu demonstrasi dilakukan dengan cara yang tidak matang. Insya-Allah, kita mahu anak-anak muda bersuara dengan penuh tanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur di atas peningkatan sokongan anak muda terhadap parti yang kini dilihat menjadi gelombang kebangkitan.

“Saya hanya dapat ucapkan satu perkara, alhamdulillah. Maksudnya, insya-Allah orang muda, kita akan sentiasa membawa suara orang muda dan ‘we are on the right track’ untuk orang muda,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru anak-anak muda untuk terus berkarya bagi mencorak masa depan parti.

“Kepada adik-adik teruskan berkarya. Politik ini besar dan UMNO mempunyai platform untuk adik-adik. Kalau dahulu mungkin kita nampak agak sukar untuk anak-anak muda duduk dalam politik.

“Tetapi alhamdulillah, di bawah kepimpinan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) hari ini, beliau membuka peluang seluas-luasnya kepada adik-adik mahasiswa. Kita sudah ada Sekolah Politik dan pelbagai lagi program untuk adik-adik menyertai UMNO.

“‘Come and join us’. Sebab UMNO ini bukan milik Akmal Saleh seorang, bukan milik Zahid Hamidi seorang… tetapi UMNO ini milik kita semua,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO