Ucapan Dasar Presiden Perkukuh Penyatuan UMNO, Melayu dan Rakyat – Rozi Mamat

KUALA LUMPUR, 11 Sept — Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai satu gagasan yang jitu dan padu dalam memperkukuh penyatuan parti, orang Melayu serta seluruh rakyat Malaysia demi memastikan masa depan negara lebih stabil, maju dan terjamin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, ucapan dasar tersebut sarat dengan pengisian serta hala tuju yang jelas bukan sahaja untuk UMNO, malah merangkumi agenda membina sebuah negara yang lebih bersatu dan diyakini rakyat.

“Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi penuh pengisian yang sangat baik. Bukan sahaja penyatuan dalam parti, tetapi penyatuan yang jitu dan padu dalam kalangan orang Melayu dan keseluruhan rakyat Malaysia.

“Kita mahu membina negara ini supaya lebih padu, lebih baik dan lebih terjamin, sekali gus meyakinkan masyarakat dalam negara serta generasi akan datang,” beliau berkata demikian kepada UMNO Online ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkata, perkembangan dan pencapaian semasa perlu menjadi ruang untuk rakyat menilai kembali keupayaan serta pengalaman UMNO dalam menerajui pentadbiran negeri dan negara.

“Sudah tiba masanya rakyat nilai dan memberikan peluang kepada kepimpinan UMNO untuk kembali menerajui negeri dan negara pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menegaskan, gagasan yang diketengahkan Presiden UMNO turut mencakupi pelbagai aspek penting, khususnya usaha memperkukuh penyatuan umat serta memperjelas hala tuju parti untuk masa hadapan.

“Presiden juga menekankan apa hala tuju kita pada masa akan datang, hala tuju yang ingin dibawa oleh kepimpinan UMNO untuk menjamin kesejahteraan rakyat pada masa akan datang.

“Agenda Malaysia Biru yang diilhamkankan oleh Presiden itu adalah persefahaman politik untuk masa depan Malaysia menjelang 100 tahun usia kemerdekaan dengan lapan ikhtiar utama untuk membentuk negara,” katanya lagi.

Ujarnya, Agenda Malaysia Biru membawa maksud yang cukup mendalam iaitu berdaulat, bersatu, inovatif dan berpendapatan tinggi, rakyat makmur dan saksama unggul serta disegani dunia.

“Dengan Agenda Malaysia Biru ini kita mahu mencipta kekayaan negara, membina manusia, memperluas pemilikan, menjaga kesejahteraan, menghadapi krisis, memelihara rakyat, membina kepercayaan dan mempertahankan kepentingan nasional,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO