Sang Saka Bangsa Berkibar Buka Tirai PAU 2026
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bermula secara rasmi hari ini selepas upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), pagi tadi.
Upacara tersebut menjadi simbolik bermulanya persidangan tahunan parti yang menghimpunkan barisan kepimpinan, perwakilan serta ahli UMNO dari seluruh negara bagi membincangkan hala tuju dan agenda perjuangan parti.
Sekitar jam 8 pagi, upacara menaikkan bendera sayap-sayap UMNO dimulakan dengan iringan lagu masing-masing, menghidupkan suasana Plaza Merdeka dengan semangat perjuangan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri.
Kemuncaknya, Sang Saka Bangsa dinaikkan dengan iringan lagu keramat parti, “Bersatu Bersetia Berkhidmat”, disempurnakan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan disaksikan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta barisan kepimpinan parti.
Upacara itu juga diserikan dengan kehadiran Skuad Sabil Pemuda UMNO, Skuad Sayang 3K Kebangsaan Wanita UMNO dan Sekolah Patriotik UMNO yang turut menyertai acara perbarisan.
Usai upacara berkenaan, sesi bergambar mengambil tempat membabitkan barisan kepimpinan parti bersama ketua-ketua pergerakan, exco serta para peserta yang hadir.
PAU 2026 berlangsung selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu, dengan taklimat Presiden UMNO menjadi antara acara pembukaan sebelum diteruskan dengan majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO.
Acara kemuncak PAU 2026 membabitkan persidangan perwakilan yang akan berlangsung selama dua hari, bermula hari ini dan esok, dengan perwakilan dari seluruh negara dijadualkan membahaskan pelbagai isu berkaitan parti, rakyat dan negara.
Untuk rekod, PAU kali ini menyaksikan kehadiran seramai 6,401 perwakilan, dengan 2,922 merupakan perwakilan UMNO induk, manakala Wanita UMNO seramai 1,163, Pemuda UMNO (1,171) dan Puteri UMNO (1,145).
Selain itu, gerai jualan membabitkan usahawan turut disediakan selain laman korporat akan beroperasi bermula 8 September selain pelbagai program lain. – UMNO Online
