Rumah Bangsa Terus Terima Sambutan, Keahlian UMNO Cecah 3.25 Juta
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu terus mendapat sambutan luar biasa apabila seramai 45,808 orang direkodkan kembali dan menyertai perjuangan UMNO dalam tempoh lapan bulan selepas konsep tersebut diperkenalkan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkembangan itu membuktikan bahawa UMNO terus menjadi wadah perjuangan yang diyakini, selain mencerminkan kesediaan rakyat untuk kembali bersama-sama memperkukuh parti dalam Rumah Bangsa.
Beliau berkata, berdasarkan rekod sehingga 31 Ogos 2026, jumlah keseluruhan keahlian UMNO kini mencecah 3,251,456 orang.

“Sejak Presiden menggagaskan konsep Rumah Bangsa dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, Ibu Pejabat UMNO telah menerima sambutan luar biasa daripada mereka yang mahu kembali, bahkan daripada mereka yang mahu bersama-sama berjuang di dalam Rumah Bangsa.
“Sejak diumumkan di Perhimpunan Agung UMNO lapan bulan yang lalu, seramai 45,808 orang telah direkodkan sebagai ahli dan kembali ke Rumah Bangsa,” katanya ketika membacakan laporan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, hari ini.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 1,195,265 orang merupakan ahli biasa, manakala keahlian Pergerakan Wanita UMNO mencatatkan 1,412,052 orang, Pemuda UMNO seramai 418,063 orang dan Puteri UMNO sebanyak 226,076 orang.
Tambah beliau, lima negeri yang mencatatkan pertambahan ahli baharu tertinggi ialah Johor, Pahang, Selangor, Perak dan Sabah.
Asyraf Wajdi berkata, peningkatan keahlian tersebut perlu dilihat bukan sekadar sebagai angka, sebaliknya sebagai amanah besar kepada seluruh warga parti untuk memastikan UMNO terus relevan dan berakar kukuh dalam masyarakat.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan seluruh anggota parti agar tidak mudah leka dengan perkembangan positif yang sedang dinikmati.
“Barang diingat, jangan terlalu mendongak ke atas tatkala angin memihak kepada kita. Kerana gelombang yang membawa kita ke atas, boleh juga menghempas kita ke bawah jika kita lupa diri, sombong dan leka.
“Ingatlah, kemenangan ini bukan lesen untuk kita mendabik dada, tetapi amanah berat untuk kita berkhidmat dengan penuh tawaduk dan keikhlasan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan perkembangan positif UMNO di Johor dan Negeri Sembilan sebagai hasil usaha penyatuan yang tidak datang dengan mudah, sebaliknya melalui pelbagai cabaran dan ujian.

Menurutnya, kekuatan Rumah Bangsa hanya dapat diperkukuh sekiranya seluruh anggota parti terus bersatu, istiqamah dan meletakkan kepentingan perjuangan mengatasi kepentingan peribadi.
“Perjuangan ini adalah sunnatullah yang penuh dengan ujian. Kerana pejuang sejati yang sabar akan kekal berdiri walau dibadai taufan,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan keahlian UMNO juga menjadi isyarat bahawa Rumah Bangsa perlu terus dibina sebagai ruang penyatuan yang mampu menghimpunkan seluruh kekuatan akar umbi bagi menghadapi cabaran politik dan masa hadapan.
Asyraf Wajdi turut menegaskan bahawa UMNO tidak akan mudah mengalah apabila berdepan tekanan dan cabaran.
“Dicabar, kita bangkit. Ditekan, kita melompat tinggi. Dipukul, kita berdiri lebih keras melawan. Semakin diambil semakin membumbung, semakin dihimpit semakin melenting!” katanya lagi. – UMNO Online
