Persefahaman Politik: Ada Prasyarat Yang Tidak Boleh Dirundingi – Presiden UMNO

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tegas berkata dalam membina persefahaman politik atau ‘Tafahum Siyasi’ bersama lain parti, ada prasyarat yang tidak boleh dirundingi,

Kata Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, ia berkaitan dengan tiada pengkhianatan dalam persefahaman yang dibina di samping tidak memungkiri janji yang dimeterai.

“…ada prasyarat kepada persefahaman politik ini yang tidak boleh dirundingi. Jangan khianat-mengkhianati. Jangan bina persefahaman pada waktu siang tetapi merancang menjatuhkan rakan di malam hari.

“Jangan perjanjian ditandatangani, dalam masa yang sama ia dimungkiri. Jika kerbau diikat pada tali, manusia diikat dengan janji,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Jelasnya juga, persefahaman politik ini mempunyai asas-asas yang perlu disepakati bersama.

“Pertama, utamakan persamaan demi maslahah umum. Kedua, hormati perbezaan ideologi, identiti dan garis sempadan masing-masing.

“Ketiga, pegang kepada prinsip toleransi dan anjal dalam membuat keputusan,” ujarnya lagi.

Jelasnya juga, persefahaman politik yang dibina ini bukan hanya kerana mempunyai musuh yang sama bahkan yang lebih penting bagi mewujudkan kestabilan politik negara, merancakkan ekonomi demi kemakmuran, menjamin keadilan kepada semua dan memperkukuhkan perpaduan rakyat dan antara wilayah.

Begitu juga katanya, Kolaborasi Agung melalui persefahaman ini perlu mengambil ibrah Perjanjian Hudaibiyah yang menatijahkan hikmah yang cukup besar, sehingga membawa kepada pembukaan kota Mekah atau ‘Fathu Makkah’.

“’Fathu Makkah’ mengajar bahawa kemenangan tidak hanya diukur pada kemampuan memperoleh kuasa. Ukuran yang lebih besar ialah bagaimana kuasa itu digunakan setelah kemenangan berada di tangan.

“’Fathu Makkah’ juga turut dikenali sebagai hari berkasih sayang atau ‘Yaumul Marhamah’. Jika ‘Fathu Makkah’ menjanjikan kemaafan, keampunan dan keselamatan. Begitu jugalah dengan Rumah Bangsa,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO