Perjuangan UMNO Sentiasa Berdenyut, Sokongan Terus Kukuh – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Kejayaan 21,484 cawangan dan 191 bahagian UMNO melaksanakan mesyuarat dalam tempoh ditetapkan membuktikan degup jantung dan nadi perjuangan parti itu masih hidup, kuat serta terus berdenyut di seluruh negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kekuatan akar umbi itu menjadi bukti bahawa UMNO masih mempunyai struktur organisasi yang kukuh dan semangat perjuangan yang terus menyala selepas lebih lapan dekad penubuhannya.

“Ini adalah bukti degup jantung dan nadi perjuangan UMNO masih hidup, kuat dan terus berdenyut di setiap pelusuk negara,” katanya ketika membacakan laporan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.

Menurutnya, keberadaan ribuan anggota UMNO di Dewan Merdeka turut membawa makna sejarah yang besar kerana perjuangan parti itu bermula 80 tahun lalu dari bumi Johor sebelum berkembang sebagai wadah penyatuan bangsa Melayu.

Katanya, semangat yang dicetuskan di Johor itu terus menyala sehingga hari ini dan kembali diterjemahkan melalui kebangkitan sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Selepas lapan dekad berbakti, obor perjuangan yang dinyalakan di Johor itu tetap menyala dan kembali menerangi seluruh negara.

“Wajah kita ditegakkan kembali dengan kemanisan perjuangan. Dada kita membunga dengan denyut kesyukuran kerana angin perubahan telah mula bertiup kencang,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, pencapaian BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini menjadi antara bukti paling jelas bahawa keyakinan rakyat terhadap perjuangan UMNO dan BN kembali meningkat.

Beliau berkata, perkembangan itu bukan sekadar dapat dilihat melalui keputusan pilihan raya, malah turut diterjemahkan menerusi peningkatan sokongan daripada pelbagai kelompok masyarakat termasuk pengundi Melayu, Cina, India dan golongan muda.

“Ini bukan sekadar angka atau statistik biasa, tetapi gambaran keyakinan rakyat yang telah kembali mengalir ke lubuk perjuangan UMNO Barisan Nasional,” katanya.

Menurut beliau, sokongan pengundi Melayu kepada BN di Johor meningkat daripada 44.9 peratus pada 2022 kepada 82.4 peratus pada PRN 2026, manakala di Negeri Sembilan meningkat daripada 45.8 peratus kepada 79 peratus.

Sokongan pengundi India turut melonjak apabila di Johor meningkat daripada 18.9 peratus kepada 54.8 peratus, manakala di Negeri Sembilan meningkat daripada 17.6 peratus kepada 49.6 peratus.

Dalam kalangan pengundi Cina pula, sokongan kepada BN di Johor meningkat daripada 9.5 peratus pada 2022 kepada 20 peratus pada PRN 2026, manakala di Negeri Sembilan meningkat daripada 8.7 peratus kepada 14 peratus.

Katanya, sokongan anak muda juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila BN menang semua saluran anak muda Melayu di kedua-dua negeri, dengan 78 peratus sokongan di Johor dan 79 peratus di Negeri Sembilan.

Asyraf Wajdi berkata, kekuatan UMNO juga terserlah melalui gerak kerja jentera akar umbi yang tidak pernah berhenti berkhidmat, khususnya Wanita UMNO yang disifatkan sebagai tulang belakang perjuangan parti.

“Tidak pernah mengeluh walau sering kali permintaan belum mampu dipenuhi. Inilah ibu-ibu kita, kakak-kakak kita, tiang seri perjuangan kita, jentera Wanita UMNO,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan anggota Wanita UMNO Malaysia yang terus gigih menggerakkan jentera parti di akar umbi.

Asyraf Wajdi berkata, segala perkembangan itu menunjukkan UMNO bukan sekadar sebuah parti yang mempunyai sejarah panjang, sebaliknya masih mempunyai denyut perjuangan yang mampu menggerakkan jentera dan menarik kembali keyakinan rakyat.

“Gelombang Biru kembali membadai bumi Malaysia, membuktikan bahawa sang gergasi telah bangun daripada lenanya,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO