PAU 2026: Osman Desa Dilantik Pembantu Pengerusi Tetap Persidangan

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Datuk Osman Desa dilantik sebagai Pembantu kepada Pengerusi Tetap UMNO bagi membantu mengendalikan perjalanan Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang bermula hari ini.

Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, berkata pelantikan itu diperlukan memandangkan Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Ser Dr Abdul Fattah Abdullah tidak dapat menghadiri persidangan kali ini kerana perlu menghadiri satu urusan penting bagi mewakili negara.

Beliau berkata perkara berkenaan telah dimaklumkan secara rasmi kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, membentangkan usul cadangan pelantikan berkenaan.

Dalam pembentangan usul itu, Asyraf mencadangkan Osman dilantik sebagai Pembantu kepada Pengerusi Tetap, seperti yang diputuskan pada Mesyuarat Khas MKT UMNO yang diadakan pada 10 September 2026.

“Saya dengan ini membentangkan suatu usul untuk melantik Pembantu kepada Pengerusi Tetap dengan mencadangkan untuk melantik Datuk Osman Desa sepertimana diputuskan pada Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi yang diadakan pada 10 September 2026 selaras dengan Peraturan 3.3 (C) Peraturan Persidangan.

“Oleh yang demikian, saya memohon untuk mendapat sokongan kepada cadangan Majlis Kerja Tertinggi,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

Usul terbabit membadapt persetujuan anggota perwakilan di Dewan Merdeka.

Pelantikan itu bertujuan memastikan kelancaran perjalanan persidangan, khususnya dalam membantu Pengerusi Tetap mengendalikan serta mempengerusikan persidangan sepanjang ketiadaan Timbalan Pengerusi Tetap. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO