Kemenangan Semalam Tidak Pernah Menjamin Kemenangan Esok – Nadhirah
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Jurucakap Puteri UMNO Malaysia, Nadhirah Afiqah Abdul Rahim berkata, pengalaman politik sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 15 membuktikan bahawa momentum kemenangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk parti berasa terlalu selesa.
Jelasnya, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Melaka dan prestasi memberangsangkan di Johor sebelum PRU ke-15 pernah meningkatkan keyakinan bahawa UMNO dan BN sedang kembali mengukuhkan kedudukan dalam landskap politik negara.
“Ketika itu keyakinan kita memang tinggi. Kita rasa momentum sudah bersama kita dan kita sedang kembali kuat. Tetapi apabila PRU ke-15 tiba, hasilnya sangat berbeza. Kita terduduk apabila BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen.
“Jadi apa pengajarannya? Mudah… kemenangan semalam tidak pernah menjamin kemenangan esok. Prinsip kita tidak perlu berubah. Tetapi cara kita mendekati rakyat, membina pemimpin dan memahami generasi baharu mesti sentiasa bergerak bersama zaman. Walaupun kita telah mendahului dinamika politik, kita tidak boleh terlalu cepat rasa selesa,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Nadhirah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Serom menjelaskan, UMNO tidak boleh terlalu cepat berasa selesa walaupun momentum politik kelihatan memihak kepada parti kerana rakyat akan sentiasa menilai semula prestasi, kemampuan dan kesungguhan sesebuah parti.
‘Jangan terlalu cepat menganggap kerja sudah selesai hanya kerana momentum nampak baik. Rakyat tetap akan menilai kita semula.
“Setiap undi tetap perlu kita perjuangkan, itulah mentaliti kemenangan. Bukan masuk ke gelanggang dengan rasa kita pasti menang, tetapi dengan disiplin bahawa setiap sokongan mesti diperoleh semula,” jelasnya.
Beliau berkata, mentaliti kemenangan yang sebenar bukanlah memasuki gelanggang politik dengan perasaan bahawa kemenangan sudah pasti menjadi milik parti, sebaliknya berpegang kepada disiplin bahawa setiap sokongan rakyat mesti diperoleh dan dipertahankan semula.
“Rakyat tidak berhutang kepercayaan kepada mana-mana parti. Setiap kali kita turun kepada mereka, kepercayaan mereka perlu diperoleh semula… sebab itu, perjuangan kita belum selesai.
“Untuk masa ini, kita perlu fokus mendapatkan kebangkitan sebenar dengan memperoleh semula kepercayaan rakyat Malaysia dengan meletakkan kita melalui mandat yang lebih besar pada PRU akan datang,” katanya lagi.
Katanya, kebangkitan UMNO tidak boleh hanya diukur melalui kekuatan organisasi atau momentum politik semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui penerimaan rakyat di seluruh negara.
“Rakyat di kampung dan di bandar, yang muda dan yang berusia, yang sedang mencari pekerjaan, membina keluarga serta setiap hari berdepan dengan tekanan kos hidup, mereka inilah yang menentukan sama ada kita benar-benar sudah bangkit atau belum.
“…dan itulah medan sebenar kita menuju PRU16,” ujarnya. – UMNO Online
