Gelombang Semakin Membara, UMNO Diyakini Kembali Dominan – Ismail Ayob

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob menyifatkan sambutan dan semangat yang ditunjukkan perwakilan serta akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sebagai petanda jelas kebangkitan baharu parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, selepas mengikuti PAU buat kali pertama, beliau melihat sendiri semangat juang yang tinggi dalam kalangan anggota UMNO, bukan sahaja di dalam dewan, malah turut dirasai oleh mereka yang berada di luar serta mengikuti persidangan secara langsung.

“Kita cukup yakin dan percaya bahawa gelombang serta sambutan daripada seluruh rakyat Malaysia semakin meningkat.

“Bukan sahaja mereka yang berada di dalam dewan, tetapi juga rakyat di luar sana yang mengikuti perkembangan UMNO.

“Saya yakin mereka mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan UMNO untuk kembali memimpin negara,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Miha’ berkata, perkembangan tersebut turut memperlihatkan UMNO Dan Barisan Nasional (BN) masih mempunyai kekuatan sebagai tunjang kepada kestabilan kerajaan dan wadah yang mampu membawa aspirasi rakyat.

“Kejayaan UMNO dan BN di Johor selain perkembangan politik di Negeri Sembilan menjadi penting bahawa momentum kebangkitan UMNO semakin melebar.

“Kita doakan sama-sama supaya kita akan berhadapan dengan Melaka dengan penuh keyakinan dan percaya bahawa Melaka juga akan mendapat perubahan yang lebih baik dengan adanya gelombang biru.

“Bermula dari Johor, kemudian Negeri Sembilan dan seterusnya Melaka, kita yakin gelombang biru ini akan menjadi semakin besar. Insya-Allah, kalau ada rezeki, kita cukup yakin gelombang biru ini akan menjadi dominan di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan kepimpinan parti sebagai satu pasukan yang mampu mencatur strategi dengan baik dalam menghadapi landskap politik semasa.

“Pendekatan kepimpinan yang membuka ruang kerjasama, termasuk usaha menyatukan semula kekuatan bangsa serta memberi ruang kepada pemimpin lama untuk kembali bersama parti, menunjukkan kematangan dan keterbukaan UMNO.

“Ini menunjukkan satu kepimpinan baharu dengan muafakat yang sangat baik dalam mencatur strategi, mengajak kerjasama serta membuka ruang kepada pemimpin-pemimpin lama untuk bersama semula,” katanya lagi.

Dengan strategi yang dirangka secara tersusun dan bijaksana mampu mengembalikan parti itu sebagai peneraju utama negara, ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO