Al-Quran, Keris Pusaka Melayu Dan Jalur Gemilang… PAU 2026 Dibuka Penuh Istiadat
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Perhimpunan Agung UMNO dibuka dengan penuh simbolik apabila perarakan masuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Dewan Merdeka, diiringi elemen yang melambangkan agama, bangsa dan negara.
Perarakan yang bermula pada jam 9 pagi itu didahului lima pembawa yang membawa senaskhah Al-Quran, Keris Pusaka Melayu, Buku Perlembagaan UMNO, Jalur Gemilang, Sang Saka Bangsa serta Wasiat Perjuangan UMNO.
Kesemua simbol berkenaan kemudiannya dibawa masuk ke dalam Dewan Merdeka ketika Presiden UMNO diiringi Pengerusi Tetap UMNO bersama Jawatankuasa Pengurusan UMNO.

Perarakan turut diiringi alunan selawat sebelum simbol-simbol berkenaan diserahkan kepada Pengerusi Tetap UMNO untuk diletakkan di hadapan pentas sebagai simbolik bermulanya persidangan parti.
Al-Quran melambangkan Islam sebagai agama yang menjadi asas perjuangan, manakala Keris Pusaka Melayu membawa makna perjuangan bangsa Melayu. Jalur Gemilang pula menjadi lambang negara, sementara Sang Saka Bangsa, Buku Perlembagaan UMNO dan Wasiat Perjuangan UMNO mencerminkan sejarah, prinsip serta amanat perjuangan parti.
Selesai alunan selawat, juruacara kemudiannya mempersilakan Qari jemputan, Muhd ‘Ammar Mukhlis Abdul Mohsin Al-Hafiz, untuk memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Baqarah, ayat 153 hingga 157.
Bacaan berkenaan turut disusuli tafsiran yang disampaikan oleh Saudara Muhammad Muadz As Sabiq Sidik Al-Amini.
Muhd ‘Ammar Mukhlis merupakan graduan Diploma Tahfiz Wal Qiraat di Darul Quran JAKIM dan Ijazah Sarjana Muda Quran Wal Qiraat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Beliau turut mencatat pencapaian membanggakan apabila muncul Johan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Kedah bagi tahun 2024 dan 2025, selain menduduki tempat ketiga pertandingan tilawah peringkat kebangsaan pada 2025.
Sementara itu, Muhammad Muadz As Sabiq Sidik Al-Amini merupakan pelajar Kolej MARA Seremban dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal serta seorang Al-Hafiz yang menghafaz 30 juzuk Al-Quran.
Beliau turut mempunyai pelbagai pencapaian dalam bidang akademik, kepimpinan, inovasi dan kokurikulum, termasuk dinobatkan sebagai Ikon Kokurikulum Kebangsaan MARA 2025.
Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO kali ini sekali gus mengangkat mesej mengenai kesinambungan perjuangan parti yang berpaksikan agama, bangsa dan negara, di samping memperlihatkan penghormatan terhadap sejarah, perlembagaan serta amanat perjuangan UMNO. – UMNO Online
