Agenda Malaysia Biru Kerangka UMNO, BN Bina Keyakinan Rakyat – Azalina
KUALA LUMPUR, 11 Sept — Penerangan UMNO Malaysia menyokong penuh Agenda Malaysia Biru yang digariskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai kerangka UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membina keyakinan rakyat serta mempersiapkan Malaysia menuju 100 tahun kemerdekaan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Agenda Malaysia Biru membawa perjuangan parti melangkaui politik pilihan raya dengan memberi tumpuan kepada Malaysia yang mahu dibina sekiranya rakyat sekali lagi memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN untuk memimpin negara.

Menurut beliau, matlamat agenda berkenaan jelas iaitu membina sebuah Malaysia yang berdaulat dan bersatu; inovatif dan berpendapatan tinggi; rakyat makmur dan saksama; serta unggul dan disegani dunia.
“UMNO mempunyai sejarah panjang membina negara, tetapi sejarah sahaja tidak menjamin kepercayaan rakyat. Kepercayaan mesti diperoleh melalui tawaran masa hadapan iaitu dasar yang lebih baik, penyelesaian yang realistik dan kepimpinan yang mampu menjawab cabaran generasi akan datang,” katanya.
Azalina berkata menjelang satu abad kemerdekaan, negara perlu mempunyai hala tuju yang jelas mengenai masa depan yang mahu diwariskan kepada generasi seterusnya.
Tegasnya, mandat rakyat bukanlah ganjaran kepada sesebuah parti dan kuasa pula bukan matlamat perjuangan, sebaliknya mandat merupakan amanah untuk membina masa depan Malaysia. – UMNO Online
