UMNO Tidak Boleh Leka, Momentum Kemenangan Perlu Dikekalkan Menuju PRU-16

KUALA LUMPUR, 10 Sept – UMNO tidak boleh leka atau berpuas hati dengan kemenangan dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi memastikan momentum tersebut dapat dikekalkan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros berkata kemenangan yang dicapai termasuk di Johor dan Negeri Sembilan bukan jaminan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memenangi PRU-16.

“UMNO tidak boleh leka. UMNO tidak boleh berpuas hati. Sebaliknya seluruh barisan kepimpinan dan ahli perlu kekal fokus, bekerja lebih keras, berusaha lebih gigih serta konsisten memegang teguh prinsip, amalan dan nilai politik parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pencadang bagi Usul Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2026 di Dewan Tun Razak 4, WTC Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Noor Azleen, kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan perlu dijadikan peluang untuk UMNO memahami dengan lebih mendalam faktor rakyat kembali memberikan sokongan kepada BN, bukannya sekadar meraikan momentum kemenangan.

Katanya, sokongan pengundi sentiasa berubah mengikut keadaan dan suasana semasa, justeru UMNO perlu terus mendalami realiti serta pengharapan rakyat.

“Pengundi tidak lagi menjadi ‘fixed deposit’ atau milik mutlak mana-mana parti. Kepercayaan yang kita raih hari ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa sekiranya BN dan UMNO gagal, leka atau angkuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan setiap kumpulan pengundi perlu diyakinkan secara berterusan melalui prestasi, bukannya semata-mata bermain sentimen atau mencipta persepsi.

Noor Azleen turut menggesa UMNO terus berada di hadapan dalam memperjuangkan isu rakyat termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, pemilikan rumah, pendidikan, kesihatan awam serta tekanan yang dihadapi golongan peniaga dan penjaja.

“UMNO perlu dilihat berada di hadapan dalam memberi pencerahan dan penyelesaian kepada semua isu ini.

“UMNO perlu memposisikan dirinya dengan tawaran-tawaran yang menunjukkan UMNO bersedia mentadbir dan menguruskan kembali negara ini dengan lebih baik daripada hari pertama diberi mandat,” katanya.

Beliau berkata matlamat UMNO adalah untuk kembali dominan dengan memperoleh mandat yang jelas dan tersendiri dalam PRU-16.

Dalam masa sama, Noor Azleen menegaskan Pemuda UMNO tidak boleh tunduk kepada sebarang usaha yang mencemar atau memburukkan nama baik, imej dan kewibawaan parti.

Beliau turut mengangkat kepentingan perpaduan orang Melayu sebagai agenda utama UMNO, selain menyeru parti memperkukuh kembali kesatuan bangsa serta menawarkan agenda Melayu baharu yang lebih jelas, berprinsip dan mampu menjawab cabaran semasa.

“UMNO kuat apabila ia bersatu dan apabila ia menyatukan. Begitulah juga hakikatnya untuk orang Melayu,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan UMNO menyesuaikan bahasa politik dengan generasi muda serta menawarkan pendekatan baharu yang menyentuh realiti kehidupan mereka termasuk dunia digital, kecerdasan buatan dan ekonomi gig.

Noor Azleen pada masa sama menegaskan UMNO perlu kekal sederhana dalam perjuangan politik dengan menjaga kepentingan Melayu, Bumiputera dan Islam sambil menghormati hak kaum-kaum lain.

Katanya, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan perlu dilihat sebagai persinggahan sementara untuk mengumpul kekuatan, manakala matlamat akhirnya adalah mengembalikan UMNO sebagai parti yang dominan.

“Agenda menyatu-padukan bangsa perlu diangkat sebagai hala tuju strategik parti menuju PRU-16 dengan tawaran yang jelas, berprinsip dan diyakini oleh rakyat,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO