UMNO Terus Beri Ruang Anak Muda Cetus Pembaharuan – Johari

KUALA LUMPUR, 10 Sept – UMNO terus memberi ruang dan peluang kepada anak muda untuk membawa serta mencetus pembaharuan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ini kerana katanya, penglibatan anak muda dalam parti perlu dilihat sebagai satu peluang untuk mereka menyumbang idea dan kepakaran baharu, khususnya dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan tadbir urus.

“Generasi muda mempunyai kelebihan dari segi penguasaan teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk membawa pembaharuan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan negara.

“Kalau mereka nampak UMNO tak boleh buat apa yang mereka mahu, duduk dalam UMNO dan berilah cadangan. Macam AI. Kamu suruh saya buat AI, saya pun tak berapa faham sebab saya daripada generasi 60-an, 70-an dan 80-an.

“Tapi, anak-anak muda kita yang pandai dalam soal AI ini. Jadi, bawalah perkara ini sebagai antara pembaharuan dan kemajuan kepada parti,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog bersama para pelajar Kelab UMNO Luar Negara dan UMNOSiswa sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, sebentar tadi.

Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kepakaran anak muda dalam bidang tadbir urus juga boleh menjadi nilai tambah kepada parti dan negara.

“Kalau mereka ini faham, belajar soal-soal isu ‘governance’… pada zaman pemimpin kita dahulu mana ada belajar soal ‘governance’? Mereka boleh membawa pendirian dan pemikiran ‘governance’ ini dalam cara kita mengendalikan negara.

“Penglibatan anak muda berpendidikan tinggi, mempunyai pengalaman dalam sektor awam dan swasta serta golongan usahawan amat penting bagi memastikan UMNO terus relevan,” katanya lagi.

Tambahnya, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki golongan muda berkenaan dapat membentuk mereka menjadi pemimpin yang lebih baik pada masa akan datang.

“…sebab UMNO ini kalau nak berterusan relevan, mesti mempunyai ramai pemimpin dari kalangan anak muda yang mempunyai pendidikan tinggi, pengalaman bekerja sama ada di kerajaan atau swasta.

“Akhirnya, apabila mereka berjaya dalam keadaan tersebut dan mereka menjadi pemimpin… mereka akan menjadi pemimpin yang sangat baik dan berkesan sebab ada pengalaman yang lengkap,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang tertua dan berpengalaman dalam mentadbir serta membangunkan negara.

“Mereka bertanya apakah kelebihan masuk UMNO? UMNO ialah parti tertua di negara ini. Dalam masa 80 tahun ini, kita mempunyai pengalaman sebelum merdeka, kemudian selepas merdeka dan mula-mula membangunkan negara. Kita menjadi kerajaan selama 60 tahun.

“Selepas itu, kerajaan kita tumbang… tetapi kita masih lagi menjadi kerajaan bersama. Kini, kita masih lagi menjadi kerajaan bersama Kerajaan Perpaduan. Jadi, kita ada banyak pengalaman dari segi menilai sebelum merdeka, kemudian dalam membangunkan negara. Kita juga biasa melihat kekalahan dan sebagainya. Jadi, sebenarnya banyak benda dan banyak pengalaman yang kita ada.

“UMNO sentiasa memberi peluang kepada anak-anak muda. Kita menghargai bahawa kepimpinan negara akan berubah pada masa akan datang. Maka, kita memerlukan ramai anak muda yang mempunyai pendidikan tinggi… yang dapat kita bentuk pemikiran mereka supaya boleh menjadi pemimpin, mentadbir negara pada masa akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO