UMNO Parti Yang Memegang Janji – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 10 Sept. – UMNO akan terus berpegang pada janji untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendirian itu selaras dengan resolusi yang diterima oleh perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.
“Kita, UMNO, ialah parti yang memegang janji. Janji kita jelas untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia sehingga akhir penggal.
“Yang penting, kita berada di dalamnya kerana itulah resolusi yang telah diterima oleh perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung yang lalu,” katanya dalam temu bual khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Ahmad Zahid berkata, sebarang pertimbangan mengenai penggabungan atau kerjasama dengan mana-mana parti selepas itu akan dibuat berdasarkan manfaat dan mudarat kepada UMNO.
“Dalam perkara ini, kita tidak berhasrat untuk mengutamakan kecenderungan, penggabungan atau kerjasama dengan mana-mana parti gabungan.
“Sebaliknya, kita akan melihat manfaat dan mudarat kepada UMNO itu sendiri, dengan mengambil kira kepentingan orang Melayu secara keseluruhannya,” katanya.- UMNO Online
